PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki yang menayang alat sulitnya kepada seorang wanita di tempat menunggu bas berhampiran stesen transit aliran ringan (LRT) SS15, Subang Jaya, Isnin lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Subang Jaya pada 7 Jun lalu.
Menurut beliau, kejadian berlaku ketika mangsa berada di tempat menunggu bas sebelum didatangi suspek yang menaiki motosikal melakukan perbuatan terbabit.
“Bertindak atas maklumat, anggota polis menjalankan tugas cegah jenayah ragut, samun dan pecah rumah menahan suspek dalam keadaan mencurigakan di Jalan SS17/2 pada pukul 8.15 malam, Isnin lalu.
“Semakan kad pengenalan tiada rekod dikehendaki tetapi suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kata beliau, soal siasat yang dijalankan mendapati suspek mengaku terbabit dalam kes melakukan perkara tidak senonoh kepada mangsa di tempat menunggu bas.
Jelasnya, polis kemudian membawa suspek ke rumahnya di Bandar Sunway sebelum merampas motosikal dan baju yang dipakai ketika kejadian.
































