Lapan juruterbang kapal angkasa dan dua pakar muatan dipilih menjadi angkasawan simpanan kumpulan keempat.
BEIJING: Agensi Angkasa Lepas China (CMSA) hari ini mengumumkan 10 calon iaitu lapan juruterbang kapal angkasa dan dua pakar muatan dipilih menjadi angkasawan simpanan kumpulan keempat.
Menurut Utusan Malaysia, dua pakar muatan adalah calon angkasawan pertama yang dipilih dari Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong dan Wilayaah Pentadbiran Khas Macau.
Beijing melabur berbilion-bilion dolar dalam program angkasa lepas kendalian tenteranya, ketika ia meneruskan cita-cita untuk mendarat di bulan menjelang 2030.
Pemimpin Hong Kong, John Lee menyifatkan pemilihan calon pertama dari wilayah itu sebagai ‘lembaran gemilang dalam sejarah’.
“Ini adalah kali pertama warga Hong Kong dipilih sebagai pakar muatan dalam program angkasa lepas kendalian China, dengan peluang menjadi angkasawan, menyertai penyelidikan dan menyumbang kepada pembangunan negara dalam program angkasa lepas,” katanya.
Kerajaan Macau dalam kenyataan hari ini turut menyifatkan pemilihan warganya sebagai satu penghormatan dan menjadi inspirasi buat golongan muda wilayah itu.
Rancangan ‘impian angkasa lepas’ China dicetuskan di bawah Presiden Xi Jinping.
Negara itu banyak melabur dalam program angkasa lepas sejak sedekad lalu, untuk cuba menyaingi Amerika Syarikat (AS) dan Russia.
China menyasarkan untuk menghantar misi kru ke bulan menjelang 2030 dan merancang membina pangkalan di permukaan bulan.


































