Armizan Mohd. Ali (kiri) beramah mesra dengan pengusaha stesen dibawah Program Libat Urus Bersama Pengusaha Stesen Minyak Seluruh Kelantan di Kota Bharu, Kelantan.
KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerahkan sepenuhnya kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berkait dengan penyasaran subsidi diesel melibatkan golongan petani di negara ini sejurus dasar tersebut dilaksanakan oleh kerajaan.
Menurut Utusan Malaysia, Menterinya Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, mekanisme berkait perkara tersebut telah diwujudkan antara KPDN dan KPKM termasuk kementerian lain sebelum dibentangkan ke pengetahuan jemaah menteri.
“Sekiranya terdapat rayuan, petani yang terlibat boleh mengemukan perkara tersebut menerusi platform yang disediakan.
“KPKM perlu meneliti asasnya dan kemudian membawa syor itu kepada jawatankuasa untuk diputuskan secara bersama,” katanya kepada selepas mengulas keluhan pengusaha sayur-sayuran di Tanah Tinggi Cameron Highland kepada jawatankuasa rayuan berkait dengan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.
Terhadulu, beliau merasmikan Program Libat Urus Bersama Pengusaha Stesen Minyak Seluruh Kelantan di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, keluhan petani di Cameron Highland meluahkan kebimbangan mereka akan terkesan dengan penyasaran subsidi diesel disebabkan tidak mempunyai lesen perniagaan.
Armizan memberitahu, golongan petani tidak perlu khuatir kerana mereka akan turut menikmati manfaat.
Katanya, golongan petani boleh memohon untuk mendapatkan bantuan subsidi menerusi program yang bersesuaian di bawah Budi Madani.
“Semalam Kementerian Kewangan telah pun mengumumkan bahawa mereka yang telah mohon awal akan boleh menerima bantuan awal bermula Isnin ini. Kepada mereka yang belum membuat permohonan boleh buat permohonan menerusi program Budi Madani.
“Kerajaan akan memastikan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel akan memberi manfaat kepada semua pihak khususnya mereka yang layak untuk disasarkan,” ujarnya.


































