PETALING JAYA: Isu surat layang terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu dinoktahkan bagi mengembalikan kepercayaan awam terhadap badan induk berkenaan.
Menurut Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM, Tan Sri Dr. Aseh Che Mat berkata, siasatan terperinci telah dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kes diklasifikasikan sebagai NFA (tiada tindakan lanjut).
Dr. Aseh berkata, ketika ini, jawatankuasa yang dipengerusikannya sedang menunggu laporan penuh daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung isu berkenaan yang dijangka siap dalam masa terdekat.
“Kita sudah serahkan kes surat layang kepada SPRM untuk melakukan siasatan merangkumi dakwaan salah guna pemberian tender dalam projek pembinaan National Training Center (NTC) yang dianggarkan bernilai RM25 juta.
“Siasatan itu juga melibatkan perbelanjaan kewangan sewaktu kongres FAM ke-60. Hasilnya pada 19 Mei lalu, SPRM sahkan siasatan terhadap FAM disahkan tidak mempunyai sebarang isu rasuah, salah guna kuasa atau penyelewengan.
“Untuk siasatan polis pula, jawatankuasa ini serahkan kepada PDRM untuk selesaikan siasatan mereka dan kita harap isu ini dapat ditamatkan dengan segera,” katanya dalam sidang akbar di Wisma FAM.
Mengulas lanjut, Aseh berkata, pihaknya secara jujur tidak mengetahui lebih lanjut mengenai asas surat layang berkenaan dikeluarkan termasuk sama ada surat berkenaan dibuat secara berkumpulan atau membabitkan orang perseorangan.
“Konklusinya, surat layang itu ‘benda’ kecil sahaja tetapi tulisnya panjang…banyak perkara tidak betul berbanding yang betul. Kita tenang sahaja cari fakta. Alhamdulillah peringkat SPRM sudah selesai sekarang,” katanya.
Dalam pada itu katanya, FAM sebenarnya tidak mempunyai pengalaman dalam mengendalikan isu surat layang kerana badan indu berkenaan tidak pernah berdepan situasi sedemikian, oleh itu mereka dilihat sedikit tertekan.
“Mereka (FAM) minta saya cepatkan siasatan dan saya sudah ambil tindakan dengan kami menemu bual kakitangan selain saya turut mengadakan perjumpaan dengan SPRM dan PDRM,” katanya.