Anwar Ibrahim
PENAMPANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu perkara-perkara yang disepakati dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diselesaikan dan tidak lagi tertangguh.
Menurut Utusan Malaysia, beliau berkata, kerajaan negeri dan Persekutuan akan berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikan isu MA63.
Walau bagaimanapun, beliau mahu tuntutan yang dibuat harus mengambil kira perubahan yang berlaku.
“Sejak saya menjadi Perdana Menteri, saya telah mengarahkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof untuk mempengerusikan (Jawatankuasa Teknikal MA63) kerana hal yang disepakati bukan semua tuntutan Persekutuan, bukan semua tuntutan Sabah atau Sarawak. Hal yang telah disepakati dalam MA63 harus diselesaikan, saya tidak mahu tertangguh lagi.
“Setiap (mesyuarat) Kabinet, ada peluang saya tanya (MA63) kerana saya tidak mahu tangguhkan. Ada orang di Semenanjung, pembangkang kata Anwar melebih-lebih beri peruntukan kepada Sabah dan Sarawak, tidak adil kepada Kelantan dan Terengganu.
“Kita bukan hanya tangani masalah Sabah, sentimen-sentimen ini ada dan kita harus jawab sebab itu kita harus ada hubungan yang sangat baik, runding dengan baik. Jangan dilihat sebagai tuntutan yang mempersulitkan urusan kerja kita,” katanya semasa merasmikan penutupan Pesta Kaamatan di Dewan Hongkod Koisaan, KDCA hari ini.
Anwar berkata, beliau tidak mempunyai masalah dengan cadangan dikemukakan Pemimpin Agung Masyarakat Kadazandusun, Murut (KDM), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan namun, beliau berhadapan masalah apabila ada suara-suara yang melemparkan tuduhan melampau.
“Saya tiada masalah sama sekali untuk tunaikan apa yang kita janjikan dalam MA63 cuma saya minta jangan pertikai dan jangan nafikan,” katanya.
































