Fahmi Fadzil
PUTRAJAYA: Laporan penuh nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang mengorbankan 10 pegawai dan anggotanya pada 23 April lalu akan dikeluarkan esok.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, jemaah menteri hari ini dimaklumkan mengenai status laporan penuh nahas itu.
Menurutnya, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah memaklumkan kepada jemaah menteri status terkini laporan penuh itu.
“Beliau (Menteri Pertahanan) memaklumkan laporan itu telah siap dan akan diterbitkan esok. Kepada rakan media, boleh nantikan laporan penuh siasatan nahas itu,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Sebelum ini, lembaga siasatan ketika mendedahkan laporan awal nahas pada 9 Mei lalu memaklumkan, ada lima fakta diumumkan berhubung tragedi itu.
Laporan awal oleh TLDM itu menyatakan, kesemua kru terbabit dalam insiden berada pada tahap kesihatan yang baik untuk mengendalikan pesawat dan tahap kelayakan penerbangan kru udara terlibat juga masih sah dan tidak tamat tempoh.
Selain itu, dua helikopter terbabit disahkan berada dalam keadaan selamat untuk terbang semasa hari kejadian, malah kerja-kerja selenggaraan kedua-dua pesawat disahkan dilaksanakan mengikut prosedur dan rutin ditetapkan oleh pengeluar peralatan asal (OEM).


































