BESUT: Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun lapan bulan maut selepas dilanggar pacuan empat roda yang dipandu bapanya di Kampung Wakaf Kubor, Keluang, Kampung Raja, di sini, hari ini.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Abdul Rozak Muhammad berkata, kejadian dikatakan berlaku kira-kira pukul 9.30 pagi di kediaman mereka di kampung tersebut.
Katanya, polis menerima laporan berhubung kejadian itu ketika mangsa dibawa mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Gong Medang, di sini.
“Hasil siasatan awal mendapati ketika kejadian bapa kepada kanak-kanak berkenaan telah mengalihkan kenderaan jenis pacuan empat roda setelah selesai membasuh kenderaan di halaman rumah.
“Bagaimanapun dia tidak menyedari mangsa yang sebelum itu sedang bermain telefon bimbit di atas tangga telah bergerak menuju ke arah kenderaan yang dipandunya dan terlanggar kanak-kanak berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini, malam ini.
Beliau memberitahu, bapa kanak-kanak malang itu kemudiannya membawa mangsa ke klinik kesihatan tersebut untuk dirawat sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 10.30 pagi.
Bagaimanapun, tambahnya, punca kematian belum diketahui kerana masih dalam proses bedah siasat.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.


































