KUALA LUMPUR: Mekanisme dan tarikh pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api diesel akan dimaklumkan pada masa terdekat.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan akan memberikan penjelasan berhubung perkara itu dalam masa yang singkat.
Anwar kemudian menjelaskan, beliau telah memberikan gambaran berhubung penyasaran subsidi bahan api itu dan disusuli dengan tindakan susulan.
“Ada orang tanya mengapa? Bukan semua Perdana Menteri yang lakukan. Saya beri gambaran, kerangka besar kemudian akan ada tindakan susulan.
“Sebab itu saya bezakan perkara dasar dan titik bengik,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Pameran Era Pasca Normal Madani di sini hari ini.
Selasa lalu, Jemaah Menteri bersetuju untuk melaksanakan penyasaran subsidi ke atas diesel sekali gus dapat memberi penjimatan kepada kerajaan sekitar RM4 bilion setahun.
Dalam pada itu, Anwar menemplak kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang mengajak Perdana Menteri agar turun ke pasar-pasar basah bagi meninjau kenaikan harga barang yang semakin menghimpit rakyat.
Perdana Menteri berkata, beliau setiap masa turun padang mendekati rakyat untuk melihat sendiri keluhan mereka berhubung masalah dihadapi.
“Kerja saya saban minggu, saya ke warung kecil, ke pasar, tiap kali sebelum jumaat tanya (rakyat) harga.
“Saya fikir dia elak jawapan parti itu dukung tauke besar,” katanya.
Semalam, Hamzah Zainudin mengajak Perdana Menteri turun ke pasar-pasar basah bagi meninjau kenaikan harga barang yang semakin menghimpit rakyat.
Ketua pembangkang itu berkata, Anwar perlu melihat sendiri kenaikan harga barang ketika ini dan selepas rasionalisasi subsidi diesel yang mahu diteruskan kerajaan.
Hamzah dalam masa yang sama turut berkata, tindakan Anwar itu juga turut tidak mengambil kira bebanan yang dihadapi rakyat selepas merancang memotong subsidi minyak diesel yang akan memberikan kesan kepada keseluruhan rantaian ekonomi.


































