KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah berpendirian tegas bahawa Jawatankuasa Kemajuan Desa Madani (JKDM) tidak wajar diperkenalkan dan dilaksanakan di Sabah.
Majlis Pimpinan PH Sabah dalam kenyataan hari ini berkata, baru-baru ini Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah telah meluluskan pindaan kepada Ordinan Pentadbiran Luar Bandar Sabah yang kini memberi kuasa dan autonomi kepada Kerajaan Sabah untuk melantik dan mengurus pentadbiran jawatankuasa kampung seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Sabah.
“Setiap wakil rakyat PH Sabah menyokong pindaan kepada Ordinan Pentadbiran Luar Bandar itu yang berniat untuk memberi kuasa autonomi kepada Kerajaan Sabah untuk menguruskan hal ehwalnya.
“Kami mengalu-alukan sebarang peruntukan persekutuan yang diberikan kepada Sabah khususnya untuk pembangunan dan manfaat masyarakat luar bandar di Sabah.
“Kami juga percaya bahawa peruntukan sebegini sebaiknya diuruskan oleh Kerajaan Sabah untuk memberi makna dan penghormatan terhadap undang-undang negeri Sabah,” katanya.
































