GERIK: Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai mencederakan ibu dan adik lelakinya menggunakan spanar dan pisau dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Bongor, di sini hari ini.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, maklumat kejadian itu diterima pihaknya selepas kedua-dua mangsa hadir dalam keadaan luka dan berdarah di Balai Polis Bersia pada pukul 7.50 pagi.
Katanya, kejadian berlaku ketika wanita berusia 54 tahun itu sedang solat sebelum dia diserang suspek berusia 29 tahun yang bertindak memukulnya.
“Adik lelaki suspek berusia 15 tahun yang mendengar jeritan wanita itu telah melihat abangnya memukul ibu mereka pada bahagian muka dan atas badan sebelah kiri.
“Dia yang ingin membantu bagaimanapun turut dipukul oleh suspek. Suspek memukul kedua-dua mangsa mengggunalan spanar dan pisau pemotong getah,” katanya di sini hari ini.
Menurut Mohd. Yusri, dua beranak itu dihantar ke Hospital Gerik dan hasil pemeriksaan oleh doktor mendapati terdapat kesan lebam dan luka hirisan pada beberapa bahagian badan mangsa.
Katanya, pemeriksaan juga dijalankan di tempat kejadian dan mendapati terdapat tompokan darah di sekitar lantai rumah setingkat yang didiami suspek bersama ibu dan adiknya.
“Suspek sebelum ini pernah dirujuk ke Hospital Taiping tetapi dibebaskan kerana tidak mempunyai sebarang masalah mental.
“Punca kejadian hari ini kerana suspek dikatakan telah berhalusinasi hingga bertindak mencederakan mangsa,” katanya.
Tambah beliau, rampasan barang kes dan tangkapan dilakukan ke atas suspek di mana permohonan reman akan dijalankan di Mahkamah Taiping esok.
“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,” katanya.































