Saifuddin Nasution Ismail
PETALING JAYA : Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan tahap keselamatan lokasi-lokasi berisiko akan dipertingkatkan ke tahap maksimum.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengaku terkejut dengan insiden berdarah yang berlaku di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru awal pagi ini.
Beliau turut menzahirkan salam takziah kepada keluarga dua anggota yang terkorban dalam insiden tersebut iaitu Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi dan Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad.
“Saya mewakili seluruh keluarga besar KDN mengutuskan salam takziah kepada dua anggota yang terkorban dalam insiden semalam.
“Saya juga mendoakan semoga afiyah dan kesembuhan segera buat Koperal Mohd Hasif Roslan yang mengalami kecederaan akibat ditembak,” katanya dalam satu hantaran di Facebook rasminya hari ini.
Menurut Saifuddin, beliau yakin siasatan terperinci sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihaknya dalam proses mendapatkan maklumat menyeluruh sebelum mengeluarkan kenyataan rasmi.
“Aspek keselamatan akan terus dipertingkatkan pada tahap maksimum di semua lokasi yang berisiko.
“Insya-Allah saya akan keluarkan kenyataan selepas mendapat segala maklumat lengkap berhubung insiden ini,” katanya.


































