Sebahagian pencarum berurusan di kuanter untuk urusan memohon memindahkan simpanan daripada Akaun Sejahtera ke Akaun Fleksibel di pejabat KWSP Kuala Terengganu, semalam.
ALOR SETAR: Pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Cawangan Alor Setar dikunjungi pencarum seawal subuh kerana masing-masing mahu memindahkan wang daripada Akaun Sejahtera ke Akaun Fleksibel yang bermula semalam.
Menurut Utusan Malaysia, tinjauan mendapati, pencarum lebih selesa untuk ke pejabat bagi mendapatkan maklumat berkaitan permindahan wang walaupun perkara itu boleh dilakukan secara dalam talian menerusi i-Akaun.
Pencarum yang berbaris panjang sebelum pejabat KWSP dibuka memberitahu tidak mahu melengah-lengahkan masa untuk melakukan urusan tersebut kerana sangat memerlukan wang bagi meneruskan kehidupan.
Noor Zanariah Yaakob, 33, dari Changlun, Kubang Pasu berkata, dia bersama dua rakannya turut beratur di pejabat KWSP seawal pukul 7 pagi untuk melakukan pemindahan ke Akaun Fleksibel.
“Kami datang sebab tidak berapa pasti cara nak pindah. Di sini kami diberi tunjuk ajar. Alhamdulillah, mudah dan sudah selesai urusan, sekarang kami hanya tunggu wang masuk ke dalam akaun ketiga.
“Saya tidak melengah pemindahan ini sebab memerlukan wang untuk urusan keluarga. Saya merasakan ini satu perkara yang baik dilakukan kerajaan kerana daripada orang ramai pinjam along atau ceti lebih baik ambil duit sendiri,” katanya ketika ditemui.
Aziz Ahmad, 45, yang bekerja sebagai operator kilang berkata, dia mengambil cuti bagi menyelesaikan urusan pemindahan wang dalam KWSP.
“Walau wang dalam Akaun Sejahtera tidak banyak tetapi jumlah itu sangat diperlukan untuk saya guna tanggung keluarga termasuk sekolah anak-anak.
“Saya rasa ini satu perkara yang baik untuk menyelesaikan masalah ekonomi rakyat yang banyak terhimpit dengan pelbagai kekangan ketika ini,” katanya yang datang dari Pendang.
K. Lechumy, 50, berkata, dia juga tidak mahu melepaskan peluang untuk memindahkan wang yang ingin digunakan untuk perbelanjaan anak di universiti.
Dalam pada itu, seorang kakitangan pejabat berkenaan memaklumkan terdapat pencarum yang menunggu untuk memindahkan wang seawal subuh.
“Kami datang awal untuk membuat persiapan dan saya lihat ada yang sudah menunggu di pagar seawal subuh walaupun pejabat hanya dibuka pada pukul 8.30 pagi,” katanya.
Di Kuala Terengganu, Zamri Ghani, 45, berkata, dia mahu menggunakan wang dalam Akaun Fleksibel untuk meringankan beban ketika waktu terdesak seperti ahli keluarga sakit, membiayai pengajian anak dan keperluan lain.
Katanya, duit dalam akaun tersebut tidak akan dikeluarkan sewenang-wenangnya memandangkan simpanan KWSP itu penting untuk perbelanjaan selepas bersara.
Ros Amiza Omar, 35, berkata, walaupun simpanannya tidak banyak, namun pemohonan itu dibuat lebih awal sebagai persediaan sekiranya berlaku perkara di luar jangka yang memerlukan duit.
Seorang pembantu jualan, Noor Aznida Alias, 38, pula berkata, dia tidak ketinggalan membuat penstrukturan semula akaun KWSP untuk memudahkan mengeluarkan duit daripada Akuan Fleksibel pada bila-bila masa.
Katanya, walaupun permohonan itu boleh dibuat secara dalam talian namun dia lebih selesa berurusan di kaunter KWSP sambil mendapat maklumat lanjut mengenai kemudahan yang ditawarkan tersebut.
Di Kota Bharu, lebih 200 pencarum menyerbu pejabat KWSP untuk permohonan pindahan wang.
Tinjauan mendapati orang ramai mula memenuhi pejabat berkenaan seawal pukul 8.30 pagi untuk menyelesaikan urusan berkenaan.
Siti Maizatul Adnan, 25, berkata, sejurus mendapat maklumat tersebut, dia terus buat keputusan menukar Akaun Sejahtera kepada Akaun Fleksibel.
Siti Azmira Khazmi, 37, berkata, pemindahan wang ke Akaun Fleksibel disifatkan sebagai langkah awal untuk melakukan pengeluaran apabila berdepan kecemasan.
“Pada pendapat saya, langkah ini sangat diperlukan ketika ada antara penyimpan yang memerlukan wang tersebut apabila berlaku kecemasan untuk mengeluarkan sejumlah wang,” ujarnya.
Semalam Mingguan Malaysia melaporkan pencarum KWSP yang berusia 55 tahun ke bawah boleh memohon untuk memindahkan 10 per 30 simpanan dalam Akaun Sejahtera ke Akaun Fleksibel menerusi aplikasi i-Akaun atau mengunjungi cawangan KWSP di seluruh negara, mulai 12 Mei.
Walaupun Akaun Fleksibel mula diperkenalkan tanpa sebarang jumlah, pencarum boleh memilih untuk memindahkan sebahagian daripada simpanan mereka daripada Akaun Sejahtera antara 12 Mei dan 31 Ogos.































