LAHAD DATU: Aktiviti river hiking yang dilakukan 15 pendaki termasuk tiga mangsa yang ditemukan lemas di Lembah Mak Sina, Sungai Makuou, Tungku dekat sini tidak mendapat kelulusan.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, berdasarkan siasatan polis, aktiviti tersebut tidak mendapat sebarang kelulusan mahupun kebenaran daripada Jabatan Perhutanan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Pihaknya juga tidak menerima sebarang makluman daripada Balai Polis Tungku mengenai aktiviti berkenaan.
“Lokasi kejadian berada dalam kawasan Hutan Simpan Silabukan dan tindakan memasuki hutan simpan tanpa kebenaran adalah satu kesalahan,” katanya kepada pemberita di sini.
Beliau berkata, pihaknya menerima laporan pada pukul 8.30 malam bahawa terdapat 15 pendaki yang melakukan aktiviti river hikingterperangkap dalam banjir kepala air di Sungai Makuou.
Pasukan polis peronda dari Balai Polis Tungku tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul 10.30 malam dan operasi mencari dan menyelamat melibatkan pelbagai agensi dimulakan pada pukul 10.45 malam.