Anwar Ibrahim
BUKIT MERTAJAM : Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka membentangkan cadangan untuk meletakkan seorang pemimpin bagi menjaga sebuah kampung dalam mesyuarat Jemaah Menteri Rabu ini.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri berkata, cadangan itu bertujuan memastikan setiap pemimpin bertanggungjawab secara langsung dalam menjaga kebajikan kampung.
Katanya, cadangan tersebut timbul hasil maklumat yang diperolehi menerusi pertemuannya bersama pemimpin masyarakat Permatang Pauh yang berlangsung pagi tadi.
“Peruntukan kerajaan ada berbilion untuk bantu kampung-kampung, tetapi, kadangkala yang kita bagi itu tidak sama seperti yang orang minta.
“Sebagai permulaan, saya memilih Kampung Cherok Tokun untuk diselia dan disusuli setiap ahli jemaah menteri yang lain. Saya panggil semua wakil masyarakat di kampung, mereka perlu beritahu apa masalah yang berlaku dan kita akan cuba selesaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Kenduri Rakyat Aidilfitri Perpaduan di Galeri Pejuang Cherok Tokun, di Bukit Mertajam di sini hari ini. Hadir sama, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.
Mengulas lanjut, Anwar berkata dengan menjaga kampung, pimpinan kerajaan dapat lebih memahami masalah asas melibatkan isu sosioekonomi.
“Sebagai contoh, saya sendiri mahu tahu apa masalah yang berlaku di kampung seperti masalah pengangguran, penagihan dadah, miskin tegar dan bagaimana ia boleh berlaku?
“Jadi, saya akan pastikan mesyuarat diadakan bersama pimpinan tempatan bagi memperoleh maklumat yang lebih tepat dan semua ini akan dibincang terus dengan orang kampung,” katanya.
Tambahnya, terdapat lebih 2,000 pimpinan kerajaan, agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang boleh membantu menjayakannya sekali gus melaksanakan agenda dirancang kerajaan dengan baik.
“Pimpinan ini perlu menjadi pemudah cara dalam membantu menyelaras keperluan yang mendesak.
“Justeru, apabila pendekatan ini diambil, maka, pimpinan ini akan lebih faham masalah yang ada di kampung dan berperanan menjadi jambatan kepada pelbagai insiatif yang sudah dirancang,” katanya.


































