KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menjelaskan bahawa arahan dalaman yang dikeluarkan berkaitan pengecualian syarat-syarat kemasukan bagi warganegara Republik Rakyat China dan India di semua pintu masuk adalah untuk memperkemaskan proses kerja Jabatan di pintu masuk.
Ini selaras dengan pelaksanaan pemberian pengecualian visa bagi tempoh 30 hari kepada warganegara China dan India mulai 1 Disember 2023 hingga 31 Disember 2024.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, kemudahan ini adalah merupakan salah satu inisiatif yang diumumkan kerajaan di bawah Pelan Liberalisasi Visa.
“Sehubungan itu, Jabatan ingin menegaskan bahawa arahan yang dikeluarkan tidak menjejaskan integriti aspek-aspek keselamatan yang telah sedia ada dilaksanakan.
“Proses kemasukan masih mengekalkan semakan keselamatan di mana kemasukan pelawat direkodkan dan semakan biometrik dilakukan disemua pintu masuk. Pelawat yang berada di dalam senarai hitam dan senarai syak akan dapat dikesan dan dilarang masuk.
“Selain itu, pematuhan pengisian Malaysia Digital Arrival Card (MDAC) kepada semua pengembara yang memasuki Malaysia masih dilaksanakan. Sistem MDAC merekod maklumat keberadaan pelawat dan membolehkan JIM mengesan keberadaan mereka sekiranya diperlukan terutamanya untuk tindakan-tindakan penguatkuasaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau merujuk kepada kekeliruan yang ditularkan oleh sesetengah pihak berkaitan pengecualian syarat-syarat kemasukan bagi warganegara Republik Rakyat China dan India di semua pintu masuk yang dikeluarkan kepada Pejabat-pejabat Pintu Masuk Imigresen melalui arahan Jabatan.
Ruslin menegaskan JIM tidak akan sesekali berkompromi terhadap aspek kawalan keselamatan dan terus komited dalam melaksanakan usaha berterusan bagi memudahcara dan melancarkan pergerakan keluar masuk pelawat bagi menyokong pembangunan ekonomi negara.






























