KUALA LUMPUR: Malaysia bakal berhadapan kekurangan jururawat sehingga 60 peratus menjelang 2030 ekoran ramai yang berhijrah dan meninggalkan sektor itu.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Zulkefly Ahmad berkata, untuk itu kerajaan perlu melakukan sesuatu bagi mempertahankan keberadaan mereka dalam perkhidmatan kesihatan awam.
Ini termasuk menjalin kerjasama dengan pihak swasta disamping memperbaiki sistem penyampaian dan perkhidmatan kesihatan negara.
“KIta beri penekanan pada pentingnya kerjasama antara sektor awam dan swasta dalam membangunkan fasiliti kesihatan dan sumber daya manusia, terutama dalam konteks kekurangan kakitangan jururawat,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Pelancaran Hospital Antarabangsa Kuala Lumpur yang mempunyai kemudahan 624 katil di KL Wellness City Gallery di sini, semalam.
Katanya, penekanan turut diberikan dalam memperbaiki keadaan di persekitaran tempat kerja dan kesejahteraan kakitangan dalam bidang kesihatan.
“Selain itu, keupayaan untuk menyeimbangkan faktor tarik dan tolak dalam menjaga tenaga kerja dalam perkhidmatan awam kesihatan.
Pada majlis itu turut dimeterai Memorandum Perjanjian (MoA) melibatkan enam kolej dan universiti dengan tajaan biasiswa sebanyak RM25 juta untuk pendidikan kejururawatan di Malaysia.
































