Kawasan mangsa ditetak dengan pedang samurai berhampiran Melinsung Summer Bay Apartment, Papar semalam.
PAPAR: Seorang lelaki cedera di kedua-dua belah tangan semasa cuba menyelamatkan tunangnya yang disamun di tempat letak kenderaan berhadapan kedai mamak di kawasan Melinsung Summer Bay Apartment, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi itu, mangsa, 27, ditetak sebanyak dua kali menggunakan pedang samurai.
Ketua Polis Daerah Papar, Superitendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, kejadian berlaku semasa pasangan berkenaan singgah di kawasan tersebut untuk makan malam setelah selesai menghantar sayur-sayuran di Kota Kinabalu.
Semasa keluar daripada kenderaan, wanita berusia 23 tahun itu didatangi seorang individu menaiki sebuah kereta.
“Suspek dikatakan memakai topi keledar berwarna biru dan membawa benda tajam disyaki sebilah pedang samurai. Suspek kemudian bertindak menyamun beg silang pengadu mengandungi sebuah telefon pintar berjenama Vivo serta dokumen-dokumen penting.
“Semasa kejadian, tunang pengadu (mangsa) sempat bergelut dengan suspek dan suspek bertindak menetak mangsa sebanyak dua kali dengan pedang samurai, menyebabkan mangsa cedera di kedua-dua belah tangan.
“Selepas itu, suspek melarikan diri dengan kenderaan dipandu oleh seorang lagi rakan suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Papar untuk rawatan.
Siasatan lanjut mendapati, kawasan kejadian gelap dan sunyi. Didapati pengadu dan mangsa parkir kereta di tepi laluan masuk kira-kira 100 meter dari kedai makan yang mereka hendak tuju.
Kamaruddin berkata, berdasarkan rawatan di hospital, mangsa mengalami patah tulang, luka dalam dengan potongan otot di bahagian lengan bawah tangan kiri dan kecederaan luar di bahagian lengan bawah tangan kanan. Mangsa bagaimanapun dalam keadaan stabil.
Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Wong Yew Zhung di 010-5635169.


































