PETALING JAYA: Seorang penghantar barang cedera dipukul di Taman Putra, Ampang dekat sini selepas enggan membantu mengangkat tong gas.
Dalam kejadian 3.30 petang itu, mangsa berusia 36 tahun terserempak dengan seorang lelaki yang hampir terjatuh ketika membawa tong gas.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, mangsa kemudian membantu lelaki itu daripada terjatuh namun suspek meminta mangsa mengambil tong gas dan meletak di atas motosikalnya.
“Mangsa enggan berbuat demikian kerana mempunyai masalah tulang belakang.
“Suspek kemudian berang dan bertindak agresif dengan mengacu pistol mainan kepada mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Azam berkata, suspek juga memukul mangsa dengan topi keledar di bahagian dahi sehingga mendatangkan kecederaan.
“Mangsa kemudian membuat laporan berhubung kejadian. Susulan itu sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya berjaya menahan suspek berusia 31 tahun di Kampung Tasik Permai Ampang semalam,” jelasnya.
Kata beliau, semakan lanjut mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau.
“Suspek kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya.




























