PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat seorang pemimpin kanan kerana disyaki melantik beberapa syarikat yang mempunyai kepentingan dengan anaknya membabitkan peruntukan bernilai kira-kira RM300,000.
Menurut Utusan Malaysia, sumber memberitahu, pemimpin tersebut disyaki melantik beberapa syarikat bagi kerja-kerja seperti membaik pulih dan melakukan penyelenggaraan jalan yang melibatkan peruntukan Pejabat Menteri Besar.
Kata sumber itu, projek-projek tersebut juga dipercayai dimonopoli oleh anak pemimpin tersebut dengan menggunakan beberapa lesen syarikat-syarikat di bawah kawalannya.
“Kesalahan tersebut dipercayai dilakukan dari Januari tahun 2023 hingga Mac lalu dan syarikat-syarikat tersebut turut disyaki telah mengemukakan dokumen yang mempunyai butiran matan palsu bagi kerja-kerja tersebut selain diberikan komisen kira-kira lima peratus daripada nilai projek.
“Setakat ini sebanyak 15 buah syarikat telah dikenal pasti dikawal oleh anak pemimpin tersebut dan antara kerja-kerja yang dilakukan adalah melibatkan pembekalan air mineral serta pembekalan hamper dan cenderahati,” kata sumber tersebut.
Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan siasatan sedang dijalankan berhubung perkara tersebut .


































