Suasana di lokasi kejadian bunuh itu di Taman Jaya, Kapar, di Klang, Selangor, kelmarin.
KLANG: Seorang lelaki maut dipercayai dibunuh empat individu bersenjatakan parang dan pistol taser di sebuah rumah di Taman Jaya, Kapar di sini, kelmarin.
Mayat mangsa berusia 38 tahun itu ditemukan dalam keadaan terbaring di hadapan bilik tidur rumah berkenaan.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat mengenai kes bunuh itu, pukul 11.39 pagi.
Jelas beliau, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati empat lelaki bersenjatakan parang dan parang memasuki kediaman tersebut.
“Seorang lagi suspek dipercayai menunggu dalam sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang tidak dikenalpasti nombor pendaftarannya.
“Polis setakat ini masih menyiasat motif sebenar kejadian berkenaan,” katanya malam tadi.
Tambah Vijaya, siasatan kes berkenaan diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Justeru, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai diminta menyalurkannya di balai polis berdekatan bagi tindakan lanjut.
Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi kejadian petang tadi mendapati kawasan rumah itu dipenuhi ahli keluarga dan kenalan mangsa.






























