Dr. Mohd. Arifin bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
KOTA KINABALU: Petunjuk prestasi utama (KPI) Perpustakaan Negeri Sabah (PNS) menunjukkan perpustakaan masih berkesan dalam menjana minat membaca di kalangan masyarakat, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif
Beliau berkata, ini dibuktikan apabila PNS mencatatkan lebih 3 juta penggunaan perpustakaan tahun lepas.
“Laporan pelaksanaan inisiatif hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi Pelan Pembangunan SMJ 2021-2025 menunjukkan perpustakaan masih berkesan dalam menjana minat membaca di kalangan masyarakat.
“Pada tahun 2023, sasaran PNS bagi inisiatif hala tuju SMJ ditetapkan adalah sebanyak 1 juta penggunaan perpustakaan di seluruh negeri Sabah. PNS telah mencapai sasaran iaitu 3,281,502 penggunaan perpustakaan (328%),” katanya.
Menurut beliau, PNS mempunyai 1 Ibu Pejabat, 25 Perpustakaan Cawangan dengan 4 Perkhidmatan Tambahan, 62 Perpustakaan Desa, 9 Perkhidmatan Bergerak dan 4 buah bas Des@net.
Katanya, sasaran bagi program galakan membaca pada tahun 2023 adalah sebanyak 2,500 program, di mana PNS telah berjaya melaksanakan sebanyak 9,612 program iaitu 384% sepanjang tahun 2023.
“Antara program yang telah dianjurkan adalah Jom Baca Bersama 10 Minit peringkat Negeri yang melibatkan Perpustakaan Akademik, Institut Pendidikan Guru Kampus Kent dan Kampus Gaya, sekolah tadika, sekolah rendah, sekolah menengah dan kolej vokasional.
“Selain daripada itu, Minggu Perpustakaan 2023 telah diadakan pada akhir bulan Jun serta aktiviti sempena cuti sekolah turut diadakan seluruh perpustakaan cawangan,” katanya.
Menurut beliau, PNS juga telah menyasarkan 100,000 penggunaan kemudahan digital tahun 2023 bagi seluruh perpustakaan cawangan dan telah mencapai sasaran sebenar sebanyak 245,167 (245%) penggunaan kemudahan digital.
Beliau berkata, menerusi hala tuju SMJ tahun 2024, katanya, sasaran bagi jumlah penggunaan perpustakaan telah dinaikkan kepada 2 juta.
Katanya, bagi tahun 2024, pencapaian setakat bulan Mac tahun ini adalah sebanyak 724,150 (36%) jumlah penggunaan.
“Sasaran jumlah Program Galakan Membaca adalah sebanyak 2,500 dan setakat bulan Mac 2024 adalah sebanyak 1,841 program (74%) telah dilaksanakan.
“Sasaran bagi penggunaan kemudahan digital adalah 100,000 penggunaan, setakat bulan Mac 48,388 (48%) penggunaan di seluruh Perpustakaan Cawangan Negeri Sabah,” tambahnya.
Dr. Mohd. Arifin berkata, pada tahun ini, PNS telah membuat perancangan bagi mengadakan program untuk menarik lagi minat orang ramai di seluruh negeri Sabah berkunjung ke perpustakaan.
Antara program yang telah dirancang bagi tahun 2024 adalah Program Quran Hour dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEINS), Festival Sastera Kanak-kanak Peringkat Negeri Sabah, Program Jom Membaca 10 minit, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, Minggu Perpustakaan, dan Pesta Buku Borneo.
Selain itu katanya, aktiviti Galakan Membaca akan diadakan di seluruh Perpustakaan Cawangan dari masa ke semasa terutamanya semasa musim cuti sekolah.
Tambah beliau, jumlah peserta aktiviti Galakan Membaca pada tahun 2023 adalah seramai 1,193,491 orang peserta dan setakat Mac 2024 adalah seramai 216,794 orang peserta.
Katanya lagi, koleksi buku perpustakaan bagi seluruh negeri Sabah adalah sebanyak 2,898,597 naskhah yang merangkumi buku rujukan, pinjaman dan majalah.
Menurutnya, PNS telah menyediakan Perkhidmatan Sumber Digital yang boleh diakses melalui laman web Perpustakaan seperti Sistem CLARE (Collection of Library Archives Repository & E- Access), di mana pangkalan data ini menghimpunkan koleksi digital PNS.
“Selain itu, Overdrive/Libbytermasuk e-bukufiksyen, bukan fiksyen, majalah, buku audio, read along ebooks dalam pelbagai subjek dan koleksi yang sesuai bagi semua lapisan peringkat umur, sebahagian besar koleksi adalah dalam bahasa Inggeris.
“Manakala, Sabah E-Lib mempunyai ebuku, fiksyen dan bukan fiksyen, sebahagian besar koleksi dalam Bahasa Melayu.”
Dr. Mohd. Arifin memberitahu bahawa PNS juga merupakan salah satu ahli konsortiumu-Pustaka, sebuah pangkalan data yang dikendali oleh Perpustakaan Negara Malaysia untuk kegunaan rakyat Malaysia.
“PNS telah melanggan Daily Express online untuk kegunaan pengguna secara dalaman serta di 14 buah perpustakaan cawangan dan perkhidmatan tambahan.
“Perpustakaan Negeri Sabah juga telah menjalinkan kerjasama bersama beberapa jabatan dan agensi seperti berikut Petrosains, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI), Teknologi Guangxi (GSTM), NPO Corporation MAY Library Asaka Center, Saitama Jepun, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, dan The United States (US) Embassy – American Corner.
“Impak kolaborasi tersebut telah menambahkan lagi menarik minat orang ramai datang ke perpustakaan terutamanya pada hujung minggu dan cuti sekolah serta menggunakan perkhidmatan yang disediakan oleh perpustakaan,” katanya ketika menggulung untuk Kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Dr. Mohd. Arifin yang juga ADUN Membakut menjawab soalan-soalan daripada Datuk Amisah Yassin (ADUN Dilantik), Datuk Hassan A Gani Pg. Amir (Sebatik) dan Dr. Daud Yusof (Bongawan).
Amisah bertanya apakah perpustakaan masih berkesan dalam menjana minat membaca dikalangan masyarakat dan apakah inisiatif dan inovasi pihak kerajaan dalam menarik minat orang ramai datang ke perpustakaan, manakala Hassan bertanya apakah Kerajaan turut melaksanakan usaha melebarkan liputan internet di kawasan-kawasan yang perlu di Sabah menerusi VSAT dan Starlink dan
Dr. Daud bertanya adakah Kerajaan mempunyai rancangan untuk menaik taraf capaian internet terutamanya kawasan luar bandar kerana capaian internet sangat lemahdi Bongawan terutamanya d kawasan Pekan, kampung dan kawasan ulu.
Sementara itu, Dr. Mohd Arifin berkata, Kementerian melaksanakan usaha-usaha melebarkan liputan internet di kawasan luar bandar dengan memberikan penyelesaian alternatif menggunakan Starlink di 300 lokasi.
“Lokasi – lokasi ini dikenalpasti secara bersama dengan MCMC dan KSTI yang mempunyai masalah liputan internet. Teknologi terbaharu ini dapat memberikan internet berkelajuan tinggi sehingga 100 Mbps di kawasan luar bandar.
“Setakat ini pemasangan sedang di jalankan di 26 daerah dan sebanyak 188 lokasi telah siap dipasang. Pemasangan sedang giat dijalankan oleh agensi Kementerian iaitu Sabah Net dan dijangka akan disiapkan pada Mei 2024,” katanya.
Menurut beliau, inisiatif ini juga sebagai langkah interim untuk menyediakan perkhidmatan internet sementara menunggu projek Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) siap dilaksanakan.
Katanya, Kerajaan Negeri juga sedang giat menjalankan inisiatif pemasangan 300 unit Starlink di seluruh negeri Sabah, di mana inisiatif itu bertujuan memberikan kemudahan internet bagi lokasi-lokasi yang tidak tersenarai di bawah JENDELA.
“Kadar liputan internet di kawasan berpenduduk di negeri Sabah setakat 29 Februari 2024 telah mencapai sebanyak 90.59%.
“Bagi meningkatkan kadar liputan internet dan kualiti perkhidmatan telekomunikasi di negeri Sabah termasuk di kawasan luar bandar,”katanya, sambil menambah MCMC telah melaksanakan inisiatif JENDELA yang meliputi pelaksanaan pembinaan menara baharu, menaik taraf pemancar sedia ada dan penyediaan sambungan gentian optik kepada premis.
Bagi meluaskan perkhidmatan jalur lebar mudah alih di kawasan DUN Bongawan, sebanyak dua buah struktur pemancar baharu telah siap dibina daripada empat jumlah menara yang dirancang di bawah Pelan JENDELA, manakala baki dua struktur pemancar baharu masih dalam peringkat pelaksanaan.
“Dalam usaha mempertingkatkan kelajuan purata jalur lebar mudah alih, kesemua 39 stesen pemancar telah pun siap dinaik taraf.
“Bagi meluaskan perkhidmatan jalur lebar talian tetap pula, sebanyak 668 daripada 1,543 premis telah pun tersedia dengan gentian optik berkeupayaan gigabit,” katanya.
Menurutnya, kesemua inisiatif yang dinyatakan dijangka akan siap dan beroperasi secara berperingkat menjelang penghujung tahun 2025.
“Inisiatif pembangunan infrastruktur digital ini memerlukan kerjasama daripada semua pihak berkepentingan terutamanya daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah serta pihak Kerajaan Negeri dari segi memudahcara proses kelulusan bagi projek-projek yang telah dirancang dan akan dilaksanakan di bawah Pelan JENDELA,” jelas beliau.


































