Hajiji menyampaikan cenderamata kepada Sultan Ahmed Sulayem.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor yakin kerjasama strategik antara Sabah Ports Sdn. Bhd. (SPSB) dan DP World (DPW), pengendali terminal pelabuhan global akan menjadi suatu rahmat kepada aspirasi Sabah untuk mempromosikan Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar (SBCP) sebagai hab transhipment utama di rantau ini.
“Dalam jangka panjang visinya adalah untuk menambah baik ketersambungan darat dan tepi laut di seluruh negeri sekali gus mengurangkan kos dan masa transit selain menambah baik standard prestasi merentas keseluruhan rantaian bekalan negeri,” katanya.
“Saya gembira DP World telah memilih Sabah untuk mengembangkan perniagaannya dan saya menjemput DP World untuk melihat bidang ekonomi berpotensi lain di Sabah,” kata Hajiji semasa pertemuan dengan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan DPW yang berpangkalan di Dubai, Sultan Ahmed Sulayem di luar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Sementara itu, Sulayem berkata, DP World telah berunding untuk menjalin kerjasama perniagaan dengan SPSB.
Sulayem, yang disenaraikan sebagai pemimpin perniagaan Arab ke-11 paling berkuasa pada 2023, memuji Hajiji kerana melaksanakan projek ini.
“Sabah adalah sebuah negeri yang indah dan terletak secara strategik untuk menjadi hab logistik di wilayah ini,” katanya sambil menambah DP World memilih Sabah kerana kestabilannya, yang kondusif untuk pelaburan.
Sulayem berkata, beliau akan melakukan yang terbaik untuk menggunakan hubungannya dalam Fortune 500 untuk membawa perniagaan ke Sabah.
SPSB, anak syarikat milik penuh Suria Capital Holdings Berhad yang mana Kerajaan Negeri merupakan pemegang saham majoriti, mengendalikan lapan terminal — SBCP, Terminal Minyak Teluk Sapangar, Pelabuhan Kota Kinabalu, Pelabuhan Kudat, Pelabuhan Sandakan, Pelabuhan Tawau, Pelabuhan Lahad Datu dan Pelabuhan Kunak.
Kerajaan Negeri telah memberi kelulusan kerjasama dengan DPW untuk operasi dan pengurusan SBCP pada 4 Jan 2023.
DP World mempunyai rangkaian lebih daripada 60 port dan terminal dengan kapasiti untuk mengendalikan lebih 90 juta Twenty Foot Equivalent Units (TEUs) setahun dan di seluruh dunia.


































