Christina Liew
KOTA KINABALU: Sabah menerima ketibaan seramai 532,227 pelancong dengan jumlah anggaran perbelanjaan pelancong sebanyak RM1.22 Billion pada dua bulan pertama tahun ini.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew Chin Jin berkata, data tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 45% berbanding tempoh yang sama tahun 2023.
Katanya, dengan peningkatan tersebut, ia menunjukkan bahawa tahun 2024 akan mampu memperlihatkan kesan pemulihan sektor pelancongan selepas pandemik COVID-19.
Dengan peningkatan itu, beliau yakin ketibaan pelancong yang disasarkan pada tahun ini akan tercapai.
“Berdasarkan laporan Regional Tourism Satellite Account (RTSA), sektor pelancongan negeri Sabah telah menyumbang RM13Billion kepada Ekonomi Sabah pada tahun 2022.
“Sektor ini juga telah menyumbang sebanyak 22.8% iaitu 1 per 3 daripada jumlah guna tenaga di Sabah adalah melalui industri pelancongan,” katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau menjelaskan bahawa isu berkenaan dengan jaringan perhubungan udara akan tetap menjadi agenda utama Kementerian memandangkan 95% ketibaan pelancong ke negeri ini adalah daripada rangkaian perhubungan melalui pengangkutan udara.
“Kementerian sentiasa memastikan usaha memperkembangkan industri pelancongan diteruskan dan dipergiatkan melalui kerjasama dengan negara-negara atau rakan-rakan sejawat luar negara termasuk pihak-pihak berkuasa pelancongan berkenaan.
“Kerjasama dan jalinan kerja ini amat penting maka adalah wajar Kementerian ini mengadakan lawatan-lawatan kerja di destinasi-destisnasi yang berpotensi,” katanya ketika menggulung untuk Kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Berhubung kehadiran Pemandu Pelancong atau Tour Coordinator dari Korea, Liew memaklumkan bahawa di bawah Akta 482 Industri Pelancongan 1992, pengusaha pelancongan perlu menggunakan khidmat pemandu pelancong yang berlesen.
Pada ketika ini, katanya, jumlah Pemandu Pelancong yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang boleh berbahasa Korea hanyalah sebanyak lapan orang sahaja.
“Jumlah ini amat sedikit untuk menampung jumlah kedatangan pelancong Korea ke Sabah. Walaupun pelancong Korea ini memahami Bahasa Inggeris asas, namun kebanyakan lebih cenderung berkomunikasi dalam bahasa ibunda mereka.
“Oleh yang demikian, Kerajaan mengambil inisiatif untuk menyokong permohonan daripada syarikat pengusaha pelancongan untuk mengambil Tour Coordinator ataupun penterjemah dari Korea bagi mengisi keperluan ini.
“Pengisian ini juga berpandukan syarat yang ditetapkan Kerajaan iaitu kadar nisbah tiga orang pekerja tempatan untuk seorang pekerja asing hanya boleh dilantik bekerja,” kata beliau.
Liew menambah bahawa walaupun Tour Coordinator mahupun penterjemah adalah warga Korea, pengusaha pelancongan juga perlu menyediakan ‘Sit-In Guide’ yang merupakan warga tempatan untuk berada di setiap pakej pelancongan yang dijalankan.
Mengenai monopoli syarikat pelancongan yang dimiliki oleh warga asing terutama Korea, sebagai tambahan kepada pegangan had ekuiti saham tempatan dan asing, beliau berkata, kesemua syarikat-syarikat pelancongan yang ingin mendaftar hendaklah mematuhi Akta Pelancongan dan Akta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Katanya, pemberian permit bas pelancong putih atau hijau mahupun bas persiaran seperti yang dibangkitkan juga hanya boleh diberikan kepada syarikat pelancongan yang berdaftar dengan MOTAC.
Berhubung dengan pemantauan terhadap syarikat pelancongan, Liew berkata, pemantauan oleh pihak MOTAC bersama Kementeriannya dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) memang dilakukan secara berkala di beberapa lokasi tumpuan untuk memeriksa lesen-lesen yang dikuatkuasakan.
Berkenaan isu statistik ketibaan pelawat, beliau berkata, statistik ketibaan pelawat tidak direkodkan mengikut daerah-daerah di Sabah termasuklah di Sandakan kerana data yang diperolehi adalah berdasarkan kepada data Jabatan Imigresen yang dikumpul melalui pintu masuk utama ke negeri ini.
“Walau bagaimanapun, Kota Kinabalu dianggarkan menerima jumlah ketibaan pelancong asing tertinggi memandangkan ianya merupakan pintu masuk utama untuk semua penerbangan domestik dan antarabangsa ke Kota Kinabalu.
“Berdasarkan kepada jumlah ketibaan pelawat ke destinasi pelancongan utama kawasan yang sering dilawati oleh kebanyakan pelancong asing adalah di Kota Kinabalu iaitu Pulau Manukan, Muzium dan Pulau Sapi serta Ranau di mana pelancong tersebut melawat Taman Kinabalu dan Poring Hot Spring,” katanya.
Sementara itu, Liew memberitahu bahawa semasa acara Routes Asia 2024 di Langkawi, Lembaga Pelancongan Sabah telah mengadakan perbincangan dengan Syarikat Penerbangan Scoot untuk membuka laluan Singapura ke Sandakan.
“Pertemuan ini adalah penting untuk daerah Sandakan memandangkan Singapura adalah merupakan ‘getaway’ yang mampu menghubungkan Sandakan dengan destinasi-destinasi antarabangsa lain terutama sekali benua Eropah yang lazimnya gemar kepada alam semula jadi dan hidupan liar.
“Sandakan diketengahkan sebagai antara destinasi yang ideal untuk lawatan sekolah di Singapura kerana tarikan flora dan fauna yang tiada di tempat lain.
“Pada tahun ini, Sandakan juga akan menerima sejumlah ejen pelancongan dan media dari luar negara daripada Australia, United Kingdom, Itali, Singapura, Indonesia, Vietnam, Korea Selatan, China dan India untuk lawatan suai kenal,” katanya.
Liew berkata, Kementeriannya melalui Taman-Taman Sabah sedang dalam perancangan untuk membuka satu lagi Pintu Masuk Gerbang Kedua Taman Kinabalu iaitu di Kampung Sayap di kawasan Kadamaian sebagai tambahan kepada Pintu Masuk Gerbang Timpohon yang sedia ada.
“Pembukaan Pintu Gerbang Kedua ini dijangka akan memberikan impak positif kepada komuniti Kadamaian. Usaha untuk menilai, mengenalpasti dan membina laluan pendakian ini dijangka akan mula dilaksanakan pada tahun ini.” katanya.
Selain daripada itu, Kementeriannya melalui Jabatan Hidupan Liar Sabah telah berkerjasama dengan sebuah pertubuhan bukan Kerajaan, iaitu Gibbon Conservation Society dalam mewujudkan sebuah pusat rehabilitasi Kelawat yang pertama di Sabah.
“Kelawat atau Gibbon ini adalah merupakan haiwan yang dilindungi sepenuhnya dibawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.
“Projek ini mempunyai potensi yang baik bagi memacu dan menggalakkan penglibatan masyarakat setempat dalam konservasi hidupan liar disamping mencipta peluang peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat khususnya di Kg. Kiau,” katanya.
Sebagai memenuhi syarat penting pengiktirafan Kinabalu UNESCO Global Geoparks, Liew berkata, beberapa langkah telah diambil untuk memperkasakan eko-pelancongan komuniti sekitar Taman Kinabalu.
“Antaranya ialah Pelantikan Ranjer Kehormat Taman-Taman Sabah dikalangan Ahli Persatuan Eko Pelancongan Komuniti bagi tujuan memudahkan Persatuan Komuniti dan Taman-Taman Sabah mempertingkatkan kerjasama termasuklah dari segi kawalan keselamatan.
“Selain itu Langkah juga diambil bagi melibatkan Ahli Persatuan Komuniti secara aktif dalam kursus-kursus Geo Guide, di samping mengadakan program dan anugerah Persatuan Eko Pelancongan terbaik setiap Hari Komuniti Taman Kinabalu, dan juga menggalakkan pendaftaran Persatuan Eko Pelancongan komuniti dengan Taman-Taman Sabah bagi membolehkan latihan dapat diberikan,” katanya.
Merujuk kepada saranan untuk mengeluarkan Sabah dari Red Zone, beliau menjelaskan bahawa ia sememangnya adalah hasrat Kementerian memandangkan perkara itu membawa kesan langsung kepada kedatangan pelancong di Pantai Timur.
“Kementerian telah mengemukakan pandangan dalam konteks dan perspektif serta impak kepada pelancongan negeri kepada pihak Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) di bawah Kajian Keberkesanan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.
“Pada bulan Mei 2024 ini, Lembaga Pelancongan Sabah akan mengadakan lawatan kerja ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengan kedutaan negara-negara yang mempunyai nasihat perjalanan yang kurang baik terhadap negeri Sabah bagi meyakinkan kedutaan bahawa Sabah adalah negeri yang selamat untuk warga mereka lawati,” katanya.
Berhubung pengambilan pasir di Pulau Balambangan, Kudat, Liew berkata, setakat ini Jabatan Perlindungan Alam Sekitar belum menerima Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) berkenaan aktiviti tersebut.
“Buat masa ini, perkara ini adalah tertakluk di bawah bidang kuasa Jabatan Tanah dan Ukur. Kementerian saya melalui Jabatan Perlindungan Alam Sekitar akan berkerjasama dengan Jabatan Tanah dan Ukur berkaitan perkara ini,” katanya.
Liew turut menyentuh tentang status Sabah Malaysia My Second Home (SBH-MM2H), iaitu program yang dinanti-nantikan selama ini dan akan mulai dilaksanakan kelak.
“Jemaah Menteri telah meneliti dan meluluskan kriteria permohonan SBH-MM2H minggu lalu dan sukacita dimaklumkan, Kementerian saya menjangkakan akan mulai menerima permohonan untuk penyertaan program seawal penghujung bulan Mei 2024.
“Ketika ini kita sedang dalam proses persediaan terakhir untuk memastikan prosedur operasi standard (SOP) bagi program ini akan lebih mudah dan mampu diadaptasi oleh pemohon,” katanya.
Berhubung isu kemudahan dan fasiliti di Lapangan Terbang Kota Kinabalu, Liew berkata, beliau menyedari isu ini terutama yang melibatkan tandas, penghawa dingin (aircond), tempat letak kereta dan tempat duduk.
“Bahkan, saya sendiri sentiasa menimbulkan isu-isu ini dalam media cetak dan elektronik. Akan tetapi, melihat perbandingan Lapangan Terbang Kota Kinabalu sepanjang dua tahun kebelakangan ini, terdapat banyak penambahbaikan yang telah dilakukan oleh pihak Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB).
“Antara penaiktarafan yang telah dilaksanakan adalah penambahan perkhidmatan buggy dan troli bagasi, penambahan dan pembaikan tempat duduk awam, penaiktarafan tandas yang mana kerja-kerja ini akan dilaksanakan dalam dua fasa dan dijangka siap pada awal tahun 2025.
“Selain dari itu juga, pihak MAHB akan menambahbaik sistem penghawa dingin dan menambahbaik sistem tempat letak kereta yang mana perkhidmatan pembayaran tanpa tunai (cashless) akan digunakan,” katanya.
Berhubung isu pemberian insentif penerbangan berikutan kadar tambang yang mahal, Liew berkata, secara dasarnya Kerajaan Negeri tidak mempunyai atau merancang untuk membuat langkah intervensi kepada syarikat penerbangan berhubung kadar tambang bagi sesuatu destinasi terutama bagi penerbangan ke Sabah.
“Sememangnya Kerajaan Negeri amat mengambil berat terhadap isu berhubung kenaikan harga tambang tiket penerbangan terutama sekali di musim perayaan.
“Harga tiket penerbangan adalah mengikut mekanisma harga dinamik yang diamalkan oleh mana-mana syarikat penerbangan di dunia iaitu amalan perniagaan berasaskan bekalan dan permintaan terhadap sesuatu produk ataupun perkhidmatan bagi sesebuah syarikat tersebut.
“Kementerian saya mengadakan perbincangan berterusan bersama syarikat-syarikat penerbangan agar mereka lebih prihatin dalam menetapkan harga tiket penerbangan terutama sekali pada musim perayaan atau cuti sekolah,” katanya.
Berhubung isu aduan serangan atau gangguan hidupan liar khususnya serangan gajah dan buaya, beliau berkata, bagi setiap aduan diterima, Jabatan Hidupan Liar akan mengambil tindakan tidak melebihi dari tiga hari bekerja.
“Bagi menangani serangan buaya, selain memberikan kesedaran awam terhadap risiko serangan buaya di habitat semulajadinya, Jabatan Hidupan Liar melalui Jawatankuasa Bertindak Menangani Serangan Buaya di peringkat negeri telah memutuskan untuk memusnahkan buaya-buaya yang dijumpai berkeliaran di sekitar kawasan-kawasan penempatan.
“Pada tahun ini, sebanyak 61 operasi telah dijalankan di negeri Sabah dan telah memusnahkan dan menangkap sejumlah 79 ekor buaya.
“Bagi menangani kerugian yang dialami akibat kerosakan tanaman dan harta benda, Jabatan Hidupan Liar Sabah membantu mangsa serangan membuat penilaian nilai kerosakan dan kerugian,” katanya.
Pada masa sama kata Liew, Jabatan Hidupan Liar juga turut membantu mangsa untuk membuat permohonan kepada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Malaysia melalui Dana Bantuan Kerugian Harta Benda dan Tanaman Akibat Serangan Hidupan Liar.
“Walau bagaimanapun bantuan ini hanya terpakai untuk pekebun kecil yang mempunyai keluasan kebun tidak melebihi lima ekar sahaja di samping status sah tanah yang diusahakan,” katanya.
Menurut beliau lagi, sememangnya terdapat keperluan bagi penambahan bilangan kakitangan jabatan ini terutama untuk penguatkuasaan, justeru itu, Kementerian akan memohon penambahan kakitangan ini kepada Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah dan sekiranya permohonan ini diluluskan Kementerian akan mempertimbangkan untuk membuka cawangan di Kalabakan.
Liew menjelaskan bahawa jumlah kedatangan pelancong menjadi KPI Kementeriannya, kerana angka kedatangan adalah penting untuk meyakinkan pelbagai industri terutama syarikat-syarikat penerbangan dan perhotelan.
“Dengan pembangunan yang seiring dengan jumlah kedatangan pelancong ini, Kementerian saya pada masa yang sama sebenarnya menggunakan peluang ini dengan mempromosi dan memasarkan segmen-segmen lain yang high yield dan niche.
“Data RTSA menunjukkan sektor pelancongan di Sabah telah menyumbang sebanyak RM6.1Billion yang mana merangkumi perbelanjaan dalam pelbagai aspek. Ini secara langsung menyumbang kepada sektor-sektor industri selain dari pelancongan,” kata beliau.
Menurut beliau lagi, kepelbagaian biodiversiti alam semulajadi merupakan aset utama negeri ini bagi sektor pelancongan di mana keindahan flora dan fauna, keunikan hidupan liar dan hidupan marin yang selama ini telah dipromosi oleh Lembaga Pelancongan Sabah di dalam dan luar negara.
Ini katanya telah mendorong kepada pengwujudan produk-produk pelancongan yang bersifat Nature dan Adventure serta menarik pelancong high yield untuk pasaran niche seperti scuba diving dan bird watching.
“Pada masa sama, inisiatif Kerajaan dalam pengurusan alam semulajadi yang mampan dan kelestarian alam sekitar menjadi salah satu daya tarikan kepada pelancong-pelancong negara yang giat mengamalkan teknologi hijau terutama negara Eropah untuk berkunjung ke Negeri Sabah.
“Selain tarikan untuk segmen Leisure, tarikan alam semulajadi juga penting untuk menarik pasaran Business Events.
“Dengan penubuhan dan operasi Biro Konvensyen Sabah pada tahun ini, sudah pasti lebih banyak peluang dan potensi ekonomi Negeri Sabah, khususnya di dalam segmen Business Events,” katanya.
Berhubung isu berkenaan Pelan Induk pembangunan kemudahan pelancongan di kawasan Taman-Taman Sabah, Liew memberitahu, kesemua sembilan Stesen Taman ketika ini yang meliputi enam Taman marin dan tiga Taman Daratan telah mempunyai Pelan Pengurusan dan Pembangunan masing-masing.
Sebagai tambahan untuk memastikan pembangunan taman seiring dengan prinsip Sustainable Development Goals, katanya, Pengurusan Taman sedang dalam proses menyediakan satu buku panduan mengenalpasti kawasan-kawasan berpontensi untuk dibangunkan dan kesesuaian pembangunan tersebut untuk dibangunkan oleh pelabur-pelabur.
“Pada ketika ini, Pelan Pembangunan Mesilau dan Pelan Pembangunan Hot Spring, Ranau telah tersedia untuk pelabur yang berminat,” katanya.
Berhubung dengan penambahbaikan infrastruktur produk-produk pelancongan yang berasaskan komuniti (CoBT), Liew berkata, perkara ini sentiasa menjadi perhatiannya memandangkan inisiatif CoBT mampu menambahbaik sosioekonomi komuniti di kawasan tersebut.
“Menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Kementerian ini mempunyai peruntukan di bawah Program Pembangunan Pelancongan Luar Bandar untuk membina, menaiktaraf dan membaikpulih infra dan fasiliti produk-produk pelancongan luar bandar.
“Ini termasuk penaiktarafan Dataran Sukau, Pembinaan Anjung Tinjau Batu Bersusun Kampung Balung Kokos, Naik Taraf Jeti di Kg Batu Puteh Kinabatangan (KOPEL), Pembinaan Malangkap Post Center Kota Belud dan banyak lagi.
“Selain itu juga, Lembaga Pelancongan Sabah juga telah memperuntukkan bantuan sokongan untuk latihan upskilling dan reskilling kepada komuniti agar perkhidmatan yang diberikan lebih berkualiti dan pelancong mendapat keselesaan,” jelas beliau.

































