Nizam Abu Bakar Titingan
KOTA KINABALU: Jabatan Perhutanan Sabah mengutip hasil sebanyak RM155,320,887.49 pada tahun lalu.
Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, daripada jumlah tersebut, hasil daripada royalti sumber balak adalah RM93,270,201.64 dan hasil kutipan yuran pemeriksaan produk kayu yang dieksport adalah sebanyak RM3,872,617.40.
Lebihan hasil sebanyak RM58.2 juta adalah daripada lain-lain hasil hutan seperti yuran permit menduduki hutan simpan, yuran pembaharuan lesen, royalti hasil agroforestry (getah dan kelapa sawit), yuran pendaftaran kenderaan dan lain-lain, tambahnya.
“Bagi tahun ini, setakat 31 Mac 2024, jumlah kutipan royalti balak bulat adalah sebanyak RM28.3 juta, manakala hasil kutipan yuran pemeriksaan produk kayu yang dieksport adalah sebanyak RM629,672.90. Kutipan daripada lain-lain hasil hutan pula adalah lebih kurang RM10.75 juta.
“Tiada yuran yang dikutip untuk kayu yang diproses di kilang papan tempatan memandangkan semua kutipan ke atas kayu balak bulat telahpun dikenakan di kawasan penghasilan (at source) iaitu sebelum dihantar ke kilang pemprosesan,” katanya ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (Senallang) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Mohd. Shafie bertanya berapakah jumlah kutipan hasil negeri setakat ini daripada sumber balak dan kayu yang diproses di kilang papan, sama ada daripada hasil royalti atau cukai.
Nizam berkata, yuran pemeriksaan hanya dikenakan kepada beberapa produk kayu terpilih yang dieksport dan diimport masuk ke Sabah.


































