Dr. Joachim (dua dari kiri) dan Dr. Jeffrey (dua dari kanan) menunjukkan dokumen MoU yang ditandatangani sambil disaksikan oleh Pairin (tengah). Turut kelihatan, Julita (kiri) dan Edward (kanan)
PENAMPANG: Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STARSABAH) hari ini secara rasminya memulakan kolaborasi politik yang dikenali sebagai BERSATU-SOLIDARITI (BEST).
Kedua-dua parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama pada upacara yang diadakan di Unity Hall, Hongkod Koisaan KDCA, di sini, petang tadi.
MoU tersebut ditandatangani oleh Timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam yang mewakili Presiden Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili, bersama Setiausaha Agung PBS, Datuk Julita Majungki bagi pihak PBS, dan Presiden STARSABAH, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan dan Setiausaha Agung STARSABAH, Datuk Edward Linggu bagi pihak STARSABAH.
Ia disaksikan oleh Penasihat Perdana PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.
BEST berteraskan kepada lima aspek utama iaitu:
* Mengukuhkan kolaborasi dan kerjasama politik
* Bekerjasama dan berkolaborasi dalam menyelesaikan isu-isu utama Sabah
* Penubuhan Majlis Pimpinan Bersama (JLC) antara PBS dan STARSABAH
* Perkongsian Maklumat dan Latihan Kepimpinan
* Penubuhan Jawatankuasa Strategik
Kelima-lima perkara ini telah dibincangkan dan diperincikan dalam MoU yang ditandatangani pada hari yang bersejarah ini.

Bercakap kepada pemberita selepas upacara tersebut, Dr. Joachim dan Dr. Jeffrey sependapat bahawa BEST akan memperkukuhkan bukan sahaja kedudukan kedua-dua parti tetapi juga GRS.
“BEST bukan satu ancaman kepada rakan-rakan lain dalam GRS tetapi memperkukuhkan kedudukan GRS terutama sekali dalam menghadapi pilihan raya akan datang.
“Bila kita kuatkan GRS, GRS akan kuatkan kita,” kata mereka.
Dr. Jeffrey menjelaskan bahawa Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi GRS turut memberikan sokongan 100 peratus kepada kerjasama ini.
Dr. Joachim berkata, pada asasnya, BEST bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama politik antara PBS dan STARSABAH.
“Itu tujuan utama sebenarnya.
“Selain itu, kita juga telah bersetuju untuk menyelesaikan isu-isu utama untuk kepentingan rakyat Sabah.
“Saya ingin menegaskan bahawa matlamat kami pada asasnya adalah juga untuk kemenangan GRS secara keseluruhan,” katanya.
Kedua-dua Timbalan Ketua Menteri Sabah itu juga sependapat bahawa PBS dan STARSABAH perlu mengambil iktibar daripada pengalaman lalu yang bukan sahaja merugikan mereka tetapi juga rakyat dan negeri ini.
“Kerana tiada persefahaman pada pilihan raya lalu, kita hanya menang 13 kerusi…kali ini, kita boleh menang tiga kali ganda,” kata Dr. Jeffrey.
“Kita menandatangani MoU ini untuk memastikan kita tidak mengulangi kesilapan kita dan kita dapat mencapai aspirasi rakyat.
“Kita akan dapat menghasilkan suatu perkara yang positif dan mencapai perjuangan kita bersama,” kata Dr. Joachim.
Menerusi jawatankuasa khas yang diwujudkan, BEST sedang mengkaji kerusi-kerusi baharu yang akan ditandingi pada pilihan raya akan datang.
PBS mempunyai tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala STARSABAH, enam kerusi.
“Kita akan pertahankan 13 kerusi ini. Yang lain-lain kita boleh bincang,” kata Dr. Joachim.
Sementara itu, Pairin berkata, MoU tersebut melambangkan satu persimpangan jalan dan menunjukkan kesedaran tentang perlunya bersatu demi Sabah dan masa depannya.
“Itulah sebabnya saya sangat gembira. Saya ingin menegaskan bahawa ini adalah langkah pertama dan terdapat banyak kerja yang perlu dilakukan selepas ini,” katanya.
































