PETALING JAYA: Anak perempuan Ketua Polis Daerah Lahad Datu maut kerana mengalami kecederaan di dada kanan kerana tertembak diri sendiri menggunakan pistol milik bapanya di rumah mereka di Taman Tabanak, Lahad Datu.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Pesuruhjaya Sabah, Datuk Shahurinain Jais ketika dihubungi berkata, proses bedah siasat dijalankan ke atas mangsa menemukan hanya satu kesan tembakan di bahagian dada mangsa.
“Luka tembakan pada dada kanan telah mengenai organ paru-paru mangsa dan tembus di bahagian belakang badan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Terdahulu, polis mengklasifikasi kematian anak perempuan Ketua Polis Daerah Lahad Datu sebagai mati mengejut (SDR).
Susulan kejadian itu, tiga saksi termasuk ahli keluarga mangsa telah diambil keterangan.
Sepucuk pistol jenis Walther P99 milik pegawai kanan berkenaan turut dirampas bagi siasatan lanjut.
Terdahulu, mangsa berusia 14 tahun ditemukan maut dalam keadaan berlumuran darah di sebuah bilik dalam rumahnya, pada 12.42 tengah hari semalam.
Difahamkan, ketika kejadian Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail tiada di rumah.
Pistol miliknya dikatakan tertinggal di rumah dan anaknya dipercayai memegang senjata api itu sebelum secara tidak sengaja tertembak dirinya sendiri.
































