Yamaha Y-16ZR ABS
Sememangnya Y-16 ini bukanlah model keluaran terbaharu Yamaha. Ia sebuah model yang diperkenalkan tiga tahun dahulu tetapi telah ditambah baik.
Apabila disebut ditambah baik, perubahan ketara yang dapat dilihat adalah pada sistem brek yang kini dilengkapi dengan sistem ABS atau ‘Anti-Lock Brake System’. Perubahan lain yang dapat dilihat pada mata kasar adalah hanya pada pilihan skim warnanya sahaja.
Saya dibekalkan seunit untuk ditunggang uji dan cuba mencari adakah terdapat sebarang perbezaan berbanding model yang diperkenalkan tiga tahun dahulu.
Pengenalan
Memetik Utusan Malaysia, Yamaha Motor Malaysia atau Hong Leong Yamaha, memasarkan motosikal-motosikal yang entah kenapa menjadi kegilaan anak-anak muda tempatan. Malah, tidak keterlaluan sekiranya dikatakan, ia mendapat lebih banyak dipilih berbanding jenama-jenama Jepun yang lain.
Sekiranya soalan ini ditanya kepada mana-mana pencinta motosikal tempatan, jawapan mereka akan lebih tertumpu kepada tiga jawapan yang sama, iaitu rekaan atau rupa bentuk yang lebih ‘sporty’, enjin yang lebih berkuasa dan yang harga jualan semula lebih tinggi.
Faktor motosikal-motosikal Yamaha sering menjadi pilihan juga adalah kerana turut dipopularkan oleh juara Perlumbaan Motosikal Grand Prix Dunia sembilan kali, Valentino Rossi, memain peranan besar dalam penjualan dan popularitinya.
Setelah zaman 2 lejang berakhir, penumpuan terhadap produksi motosikal 4 lejang jelas menaikkan nama-nama seperti Lagenda 115, LC135, Y15ZR dan kini Y16ZR dilihat sebagai mengambil alih model Yamaha yang menerajui pasaran.
Berbekalkan informasi tersebut, saya membentangkan hasil uji pandu yang telah saya lakukan.
Reka bentuk fizikal
Tidak dapat lari, saya harus membandingkan dengan model Yamaha sebelumnya iaitu Y15 ZR yang begitu popular dengan nama jolokan ‘Y-Suku’. Y16 2024 ini secara kasarnya tidak berubah daripada model yang dilancarkan pada 2021. Namun sekiranya diletakkan bersebelahan dengan Y15/Y-suku, ternyata ada unsur-unsur garisan rekaan yang diperbaharui.
Saya tidak akan mengatakan rekaan Y16 lebih sporty atau agresif daripada y15, kerana kedua-duanya menampilkan rekaan yang agresif dan juga sporty. Cuma, Y15 tampak sedikit ‘besar’ dimensinya berbanding dengan Y16 yang sedikit ‘tirus’ dan aerodinamik.
Y16 ZR 2024 ini juga menampilkan ‘dada’ atau ‘cowling’ hadapan yang sedikit menirus berbanding model 2021. Mungkin ini menampilkan tujuan yang lebih berfungsi untuk mengurangkan konsep menahan aruhan udara dari hadapan dan terus mengalirkannya ke tepi motosikal.
Begitu juga dengan pelindung angin pada bahagian handel motor, kelihatan lebih bersegi dan mempunyai ‘longkang’ untuk menembuskan atau ‘memancung’ aruhan udara dari hadapan ketika dalam pergerakan.
Dua perubahan yang walaupun tampak minimalis ini, namun telah diperhalusi rekaannya oleh jurutera-jurutera Yamaha sendiri untuk memberikan prestasi aerodinamik yang lebih baik, sekali gus memberikan prestasi kelajuan yang lebih ekstensif.
Faktor pembaharuan paling ketara model 2024 ini adalah pengenalan tiga skim warna yang baru iaitu unggu, hijau kebiruan dan juga kelabu. Skim warna ini dilihat sebagai memberi lebih sebab untuk individu berbeza memilikinya.
Penunggangan
Mengingat kembali sesi tungganguji Y16ZR ini tiga tahun lalu di Litar Antarabangsa Sepang, kebolehan saya mencapai kelajuan 130 kilometer sejam (km/j) atas laluan lurus dalam litar memeranjatkan ramai netizen apabila saya menyiarkannya dalam ruangan Youtube. Ketika ini, amat sukar pencinta motosikal menerima sebuah motosikal standard kilang, mampu mencapai kelajuan tersebut tanpa sebarang modifikasi.
Ketika saya menguji model 2024 ini pula, saya juga mendapat pencapaian kelajuan maksimum yang hampir sama iaitu pada kelajuan 136kmj pada kadar 10,500 RPM di gear keenam. Mungkin sekiranya diuji oleh penunggang lain yang lebih ringan beratnya, ada kemungkinan mendapat kelajuan yang lebih tinggi.
Saya merumuskan kebolehan Y16 ini mudah mendapat kelajuan ini adalah kerana selain ia mempunyai enjin 155cc, menggunakan konsep injap VVA (Variable Valve Actuation) yang secara kasarnya memberikan prestasi di lekuk kuasa rendah serta juga di lekuk kuasa tinggi. Ditambah pula dengan kotak gear enam kelajuan, memberikan satu pakej prestasi yang baik.
Selain mempunyai enam kelajuan, Y16 ini juga dilengkapi dengan sistem klac Slip & Assist yang memberi kelancaran pertukaran setiap gear.
Pertukaran gear ibarat motosikal berkapasati tinggi yang menggunakan bantuan klac tangan, dengan mekanisme pergerakan gear satu ke bawah dan selebihnya di’songket’ ke atas, membolehkan anda memacu kelajuan dari keadaan statik kepada tahap kelajuan maksimum dengan cukup lancar dan mudah.
Begitu pun, faktor beratnya yang agak ringan sebagai sebuah motosikal underbone atau kapcai, mengingatkan saya kembali bahawa motosikal ini bukan untuk kita pecut selamanya atas lebuh raya.
Akibat faktor tersebut, saya membuat pengujian pengemudian dalam kelajuan yang agak ekstrim di lorong motosikal di Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Persekutuan dan Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) iaitu hampir kesemua laluan motosikal lebuhraya ini mempunyai kelebaran laluan yang kecil, pelbagai keadaan muka bumi dan juga berliku-liku.
Kombinasi sistem suspensi hadapan dan jenis tunggal di belakang tidak mengecewakan apabila tegar menyerap bongol-bongol yang ada, serta menstabilkan penunggangan ketika melaluinya pada kelajuan tinggi.
Sistem brek yang digembar-gemburkan dengan sistem ABS turut memberi prestasi yang baik, terlanjur model 2024 ini dibekalkan dengan saiz cakera yang lebih besar daripada model terdahulu.
Kesimpulan
Selain perubahan warna, adakah Y16ZR ini sebenarnya cuma gimik pihak Yamaha Motor Malaysia untuk meningkatkan jualannya?
Saya mendapati, penambahbaikan Y16 ini ternyata mempunyai kelebihan yang sebenarnya ‘tersembunyi’ atau pun gagal terus dikesan atau dihargai oleh mereka yang bukan pencinta motosikal yang serius.
Terdapat perbalahan antara netizen apabila mengatakan motor kapcai tidak memerlukan sistem brek ABS kerana bukanlah laju sangat pun. Malah saya sendiri pernah ditanya soalan tersebut beberapa kali dan saya hanya menjawab, ‘hanya mereka yang sudah terlibat dalam kemalangan akan menghargai sistem ABS ini.’
Penambahan dan perubahan ini walau bagaimanapun, dilabelkan dengan harga RM11,398 tanpa kos pendaftaran, kos cukai jalan dan juga insurans.
Maka, ‘berbaloikah’ model ini untuk dibeli? Y16ZR ini saya sarankan untuk mereka yang ‘serius’ dalam penunggangan dan prihatin tentang pengemudian motosikal anda yang akhirnya membuatkan anda mengalami keseronokan dihujung perjalanan. Lagipun, era Y-suku sudah berakhir.


































