Dalam kejadian pukul 1.20 pagi Ahad lalu, seorang lelaki melepaskan dua das tembakan dengan satu daripadanya terkena seorang lelaki tempatan yang juga pengawal peribadi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
PETALING JAYA: Isteri kepada pengawal peribadi Mohd Nur Hadith Zaini mahu lelaki yang melepaskan tembakan sehingga terkena suaminya dalam kejadian di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, dihukum seadilnya.
Menurut Utusan Malaysia, Siti Noraida Hassan, 38, berkata, kejayaan tersebut sedikit sebanyak melegakan hatinya yang masih terkejut dengan kejadian menimpa suaminya.
“Bersyukur dan lega. Terima kasih pada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan rakyat Malaysia yang mendoakan,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan tangkapan lelaki tersebut yang dilakukan di Kota Bharu, Kelantan.
Menurut beliau, suspek ditahan sekitar pukul 3 petang, kelmarin.
Media sebelum ini melaporkan, seorang pengawal peribadi cedera selepas terkena tembakan dalam kejadian di KLIA Terminal 1, sekitar pukul 1.20 pagi.


































