Anwar Ibrahim
PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui amat terkesan dengan isu rasuah melibatkan pasukan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di bahagian kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sehingga negara kehilangan hasil hampir RM2 bilion.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri berkata, walaupun ia hanya membabitkan unit kecil di bawah jabatan itu tetapi kerugian yang ditanggung melibatkan nilai yang tinggi.
Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana maklumat daripada badan penguat kuasa menunjukkan pimpinan dan pimpinan kanan penjawat awam masih terhindar daripada masalah rasuah dan salah guna kuasa.
“Masih berlaku kecurangan yang bagi saya sangat mengesankan dan menyedihkan termasuk melibatkan satu jabatan di bawah pengawasan saya di Kementerian Kewangan (MOF),” katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini semalam.
Baru-baru ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 34 pegawai dan anggota JKDM yang disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan mengakibatkan kerugian negara sehingga RM2 bilion dalam tempoh dua tahun.
Anwar berkata, negara boleh menyelamatkan puluhan bilion ringgit kalau penguatkuasaan bertindak tegas mengatasi penyeludupan dan ketirisan minyak diesel atau minyak masak yang diseleweng pihak tertentu.
Dalam pada itu, Perdana Menteri meminta semua penjawat awam membantu kerajaan memberikan penjelasan kepada rakyat mengenai langkah-langkah yang sudah diambil bagi menangani peningkatan kos sara hidup.
Katanya, walaupun negara menghadapi kekangan kewangan, namun kerajaan tidak sekali-kali meminggirkan masalah dihadapi rakyat.
“Soal kritikan itu biasa, tetapi untuk mengatakan kita tidak faham, tidak prihatin kepada rakyat tidak betul. Jadi saya minta saudara (penjawat awam) tolong jelaskan.
“Walaupun penjawat awam tidak semestinya campur politik, tapi ini soal dasar kerajaan dan bagi fakta, kalau tidak ia seolah-olah kita tidak buat apa-apa,’’ katanya.