PETALING JAYA: Polis memanggil seorang pengarah syarikat yang mendakwa wang lebih RM500,000 ditinggalkan dalam bagasi merah jambu di sebuah pusat beli-belah di Damansara di sini, Rabu lalu bagi memberi keterangan.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, setakat ini polis menerima satu laporan daripada seorang lelaki berusia 40-an pada 11.30 pagi, Khamis lalu.
“Lelaki itu yang merupakan pengarah syarikat mendakwa wang tersebut hasil perniagaan dijalankan.
“Justeru kita memanggilnya untuk memberi keterangan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia kelmarin.
Khamis lalu, media melaporkan seorang pengawal keselamatan di sebuah pusat beli-belah di Damansara menemukan bagasi terbabit di tempat meletak kenderaan di premis tersebut.
Pihak pengawal keselamatan pusat beli-belah kemudian membuat laporan polis berhubung penemuan itu di Ibu pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.
Pemeriksaan pada beg bagasi warna merah jambu dan putih bersaiz sederhana itu berisi nota wang kertas RM50 dan RM100 dengan jumlah keseluruhan melebihi RM500,000.
Terdahulu, pengawal keselamatan, warga Nepal, Sherpa Dawa,39, yang menemukan dan memulangkan sebuah beg mengandungi lebih RM500,000 itu dihargai apabila menerima hadiah dan anugerah daripada majikannya.
Sherpa yang berkhidmat dengan syarikat itu kira-kira empat tahun berkata, dia mengambil keputusan membuat laporan berhubung penemuannya kepada pihak berkuasa dan pengurusan pusat beli-belah kerana komited dengan tanggungjawab yang digalasnya.
“Ketika saya jumpa (beg itu), saya tak rasa takut langsung kerana kami telah terima latihan daripada syarikat dan saya tahu saya ada tanggungjawab.
“Saya tak fikir berapa banyak duit yang ada, kami hanya jalankan tugas,” katanya.