Masiung (tengah) menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf sambil diperhatikan oleh Dexter dan Kadin.
KINABATANGAN: Inisiatif syarikat tempatan, Kim Teck Cheong Consollidated Berhad (KTC) yang membantu masyarakat menerusi aktiviti amal wajar dicontohi syarikat-syarikat lain di negeri ini.
ADUN Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, sumbangan syarikat tersebut juga wajar dihargai dengaj balasan dalam bentuk ‘pelepasan cukai khas’.
Beliau berkata, terdapat banyak juga syarikat sawit besar di negeri ini, namun belum ada di antara mereka tampil membantu dalam aktiviti kemasyarakatan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri sebagai tetamu khas majlis Jelajah Program Amal Iftar anjuran bersama KTC dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) peringkat Parlimen Kinabatangan di perkarangan Masjid Daerah Kinabatangan, di sini, kelmarin.

Pengarah Eksekutif KTC, Datuk Dexter Lau dan Pengarah UPPM Sabah, Datuk Awang Kadin Tang turut hadir menyantuni lebih 500 masyarakat Islam pada majlis tersebut.
Masiung yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Sabah, menggesa syarikat berskala besar di Sabah mencontohi usaha murni yang dilakukan oleh KTC.
“Bagi pihak Kerajaan Negeri Sabah, kita memberi sanjungan tertinggi terhadap KTC sebagai keluarga angkat kepada Kerajaan Negeri,” katanya.
Program Amal Iftar dan Membeli-belah KTC dan UPPM Sabah diadakan di semua 25 kawasan Parlimen di Sabah.
KTC sebelum ini turut melaksanakan pengagihan kuih bun dan susu Dumex kepada masyarakat memerlukan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
































