KLANG: Polis masih memburu suspek kes seorang penyelia pengawal keselamatan yang ditembak di pekan Kapar, 6 Mac lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, kes tersebut masih lagi disiasat bagi mengenal pasti suspek sebenar dalam insiden tersebut.
“Lima individu yang ditahan sebelum ini sudah dilepaskan sehari selepas hari kejadian apabila kami mendapati mereka tidak terbabit dalam kes berkenaan.
“Polis juga berpuas hati dengan keterangan yang diberikan mereka,” katanya pada Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, malam tadi.
Pada majlis tersebut, Superintendan Mohd. Rahimi Zainol yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Grik menggantikan Superitendan Mohd. Khairi Shafie sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara yang baharu.
Sementara Mohd. Khairi pula dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Tumpat yang baharu, dengan memangku pangkat Asisten Komisioner.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan seorang penyelia pengawal keselamatan itu ditembak pada jarak dekat oleh individu tidak dikenali yang menaiki sebuah kereta berwarna hitam.
Mangsa ditembak di bahagian tangan, rusuk serta bahu kanan dan kiri serta menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini. Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, iaitu cubaan membunuh.
Dalam pada itu, Vijaya Rao memaklumkan bahawa kejadian tersebut bukannya disebabkan pergaduhan sesama kumpulan kongsi gelap di kawasan Klang.
“Difahamkan, kes berlaku disebabkan perebutan kawasan seliaan keselamatan. Mangsa sudah pun keluar dari HTAR dan sedang berehat di rumahnya. Mangsa belum bekerja lagi,” jelasnya.


































