Anifah Aman
KUALA LUMPUR: Keadaan infrastruktur asas di Sabah masih berada dalam keadaan yang terumbang-ambing dan tidak selaras seperti mana pembangunan serta kemudahan di Semenanjung.
Menurut Utusan Malaysia, Ahli Dewan Negara, Senator Tan Sri Anifah Aman berkata, infrastruktur asas yang kurang memuaskan itu termasuk jalan raya, bekalan air dan elektrik.
Menurut beliau, keadaan tersebut menyebabkan pelabur tidak mempunyai keyakinan untuk melabur dan masuk ke negeri bawah bayu itu.
“Ini belum lagi menyentuh mengenai penyelenggaraan jalan-jalan raya termasuk lampu-lampu jalan yang masih kekurangan peruntukkan.
“Saya juga ingin memetik ucapan Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Ahli Parlimen Putatan, Datuk Shahelmey Yahya yang telah menyatakan bahawa jumlah peruntukkan penyelenggaraan untuk jalan-jalan Persekutuan yang diberi tidak mencukupi,” katanya semasa sesi perbahasan di Dewan Negara, hari ini.
Mengulas lanjut, Anifah berkata, perkara tersebut menyebabkan berlakunya situasi tunggakan kepada kerja-kerja yang perlu diselenggara atau diperbaiki.
Impaknya dapat dilihat apabila terjadi banyak tunggakan dari tahun ke tahun-tahun berikutnya, maka jalan- jalan akan bertambah rosak dan mengakibatkan risiko kepada pengguna jalan raya.
“Oleh itu, saya juga mohon agar Kerajaan Persekutuan sentiasa mengingati tanggungjawabnya untuk membangunkan Sabah sejajar dengan Semenanjung Malaysia,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau memohon agar State Government Approval dinaikkan kepada RM100 juta agar lebih banyak pelabur berskala sederhana boleh masuk ke Sabah tanpa perlu melalui proses birokrasi yang panjang di peringkat Persekutuan.
“Ini secara tidak langsung juga akan membantu merancakkan semula ekonomi dengan pewujudan peluang pekerjaan serta meningkatkan hasil kutipan cukai kepada Kerajaan Persekutuan,” katanya.


































