Azalina Othman Said
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing 2023.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, RUU tersebut bertujuan untuk mengawal selia kekebalan diberi kepada sesebuah negara asing dan hartanya, ketua negara dan ketua kerajaan daripada bidang kuasa mahkamah Malaysia.
“RUU ini digubal oleh kerajaan untuk melindungi kekebalan negara dengan mengkanunkan undang-undang antarabangsa, menambah baik prosedur dan amalan sedia ada serta amalan terbaik antarabangsa.
“RUU ini juga memperuntukkan secara jelas konsep layanan salinan yang akan diamalkan, hal demikian kerana apa-apa kekebalan diberikan kepada sesuatu negara asing boleh ditarik balik sekiranya ia dibalas oleh negara asing tersebut,” katanya semasa sesi menggulung di Dewan Rakyat, hari ini.
Untuk rekod, RUU yang pertama kali dibentang di Dewan Rakyat pada 20 November lalu itu dibahas oleh 11 ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang semalam dan diluluskan dengan suara majoriti.
Kelulusan RUU tersebut diumumkan oleh Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor.
Bagaimanapun, sesi penggulungan RUU tersebut menjadi kecoh selepas beberapa ahli Parlimen pembangkang bangkit mempersoalkan beberapa fasal yang terkandung di dalam RUU itu yang dianggap memberi kuasa berlebihan kepada Perdana Menteri.


































