Dexter Lau
KOTA KINABALU: Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC) dalam usaha bersama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) melancarkan inisiatif terbaharunya, Program Amal Berbuka Puasa, yang diberi keutamaan membantu golongan yang memerlukan berserta rumah anak yatim di sepanjang bulan Ramadan ini.
Menerusi Program Amal Berbuka Puasa, KTC dan UPPM akan menganjurkan majlis berbuka puasa di beberapa lokasi di seluruh Sabah dengan harapan dapat mengurangkan beban keluarga yang menghadapi masalah ekonomi mendapat sokongan di sepanjang bulan Ramadan.
Selain itu, rumah anak yatim akan turut dilawati, memberi mereka peluang memilih baju raya kegemaran mereka di 10 buah Pasaraya Servay yang terdekat. Ini mencerminkan komitmen bersama organisasi korporat dan Kerajaan Negeri untuk berkhidmat kepada masyarakat dan menyebarkan kebahagiaan serta memupuk keharmonian di sepanjang Ramadan.
Selain daripada itu, Program Berbuka Puasa anjuran UPPM ini direka untuk menghimpunkan individu daripada pelbagai latar belakang, budaya dan kepercayaan untuk berkongsi tradisi berbuka puasa bersama.
Dijadual berlangsung selama tiga minggu di 25 lokasi seluruh Sabah bermula dari Kalabakan dan berakhir di Keningau, Program Iftar akan menampilkan juadah berbuka puasa komunal di mana golongan anak yatim dan kurang berkemampuan boleh berkumpul untuk menikmati juadah berbuka puasa, sambil mengeratkan ikatan persahabatan dengan masyarakat setempat.
“Dalam bulan Ramadan tahun ini, kami sangat teruja untuk melancarkan Program Amal Berbuka Puasa dan Membeli-belah baju raya bagi anak-anak yatim, satu inisiatif yang baik demi memupuk semangat belas kasihan, kemurahan hati, dan perpaduan,” kata Pengarah Eksekutif KTC, Datuk Dexter Lau.
Pengarah Urusan KTC, Datuk Lau Kok Sing berkata: “Sementara kita menyambut bulan Ramadan yang mulia ini, marilah kita bersama-sama sebagai satu komuniti untuk meraikan nilai-nilai yang dikongsi bersama dan menggalakkan keharmonian di kalangan semua penduduk Sabah dan membawa kegembiraan kepada anak-anak yatim di seluruh Sabah.”
Pengarah UPPM, Datuk Awang Kadin Tang mempelawa individu, perniagaan dan organisasi untuk menyumbang kepada Program Amal Berbuka Puasa melalui sumbangan dana, barangan makanan atau bantuan sukarelawan.
“Bersama-sama, kita boleh memberi impak positif dan menyebarkan harapan dan kebaikan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.


































