Razarudin Husain
PETALING JAYA: Tan Sri Razarudin Husain berkata tiada sebarang maklumat diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung dakwaan laporan sebuah portal mengenai bos ‘raja dadah India’ adalah rakyat Malaysia.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara ketika dihubungi berkata, hasil semakan pangkalan data Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman juga mendapati, penama yang dilaporkan portal berkenaan yang ditahan oleh Lembaga Kawalan Narkotik (NCB) India pada Sabtu lalu tidak berada dalam mana-mana maklumat pengedaran dadah di dalam negara ini.
“Hasil semakan pangkalan data (database) JSJN mendapati sehingga kini penama ini tidak timbul dalam mana-mana maklumat pengedaran dadah di dalam negara.
“Bagaimanapun, JSJN sedang mendapatkan maklumat pihak SLO India berkaitan penglibatan penama ini di Malaysia seperti yang didakwa dalam portal berita dalam talian itu,” katanya secara ringkas.
Mengulas lanjut, Razarudin berkata, buat masa ini, JSJN tiada sebarang hubungan bilateral dengan Biro Kawalan Narkotik (Narcotics Control Bureau), India dan sebarang komunikasi dijalankan melalui Polis Antarabangsa (Interpol) dan Agensi Penguatkuasaan Dadah (DEA), Amerika Syarikat.
“PDRM khususnya JSJN amat menitikberatkan kerjasama antarabangsa dalam membanteras aktiviti pengedaran dadah.
“Komitmen ini dapat dilihat melalui penglibatan Malaysia dengan agensi antarabangsa seperti Pejabat Jenayah dan Dadah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNODC), DEA dan Australian Federal Police (AFP),” jelasnya.
Terdahulu, sebuah portal melaporkan media India mendakwa bos kepada ‘raja dadah India’ merupakan seorang pengedar filem warga Malaysia yang mempunyai hubungan rapat dengan selebriti industri filem Tamil dan sedang berada di negara ini.
Ini selepas penerbit filem Tamil, Jaffer Sadiq, yang didakwa mempunyai kaitan dengan penyeludupan dadah antarabangsa bernilai RM1.13 bilion ditahan oleh Lembaga Kawalan Narkotik (NCB) India pada Sabtu lalu.
Dakwaan itu dibuat oleh wartawan kanan dan pemilik media Savukku, A Shankar dalam satu wawancara di YouTube.
Bagaimanapun, Shankar yang terkenal dengan kewartawanan penyiasatan tidak mendedahkan nama individu tersebut.
Dalam pada itu, menerusi satu kenyataan media Isnin, NCB berkata, Jaffer dipercayai mengendalikan sindiket dadah yang menghantar 45 konsainan sejak tiga tahun lalu ke pelbagai negara, mengandungi kira-kira 3,500 kg pseudoephedrine.
NCB seterusnya mendakwa bahawa Jaffer telah mendedahkan dia telah memperoleh sejumlah besar wang daripada operasi pengedaran dadah haramnya dan melabur dalam perniagaan yang sah dalam industri seperti filem, pembinaan dan hospitaliti.
NCB bekerjasama dengan pihak berkuasa di New Zealand dan Australia selepas maklumat diterima daripada Kastam New Zealand dan polis Australia bahawa sejumlah besar pseudoephedrine sedang dihantar ke kedua-dua negara.


































