Iskandar Zulkarnain Ramli
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Iskandar Zulkarnain Ramli berkata, para pemimpin Parti Warisan (WARISAN) seumpama kehabisan isu sehingga melabel GRS dan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor sebagai gagal tanpa melihat pada fakta dan data sebenar.
Beliau berkata, kenyataan para pemimpin WARISAN seperti ADUN Elopura, Chong Ket Kiun sangat tidak adil dan hanya mengambil isu secara tangkap muat.
“WARISAN seumpama telah kehabisan isu dan mengeluarkan kenyataan yang merapu.
“Chong dan semua pemimpin WARISAN hanya tahu melabelkan GRS dan Datuk Seri Hajiji sebagai gagal tanpa melihat fakta dan data sebenar.
“Merekalah yang tidak berhak bercakap dengan hujah rapuh dan merapu mengenepikan fakta,” kata Iskandar dalam kenyataan hari ini.
Berkenaan isu keperluan asas yang dibangkitkan; Iskandar mengingatkan Chong bahawa dalam konteks elektrik, Kerajaan Negeri pimpinan Hajiji selaku Ketua Menteri telah melancarkan Pelan Induk dan Halatuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040) untuk menyahut kolaborasi The National Energy Transition Roadmap (NETR yang diperkenalkan Kerajaan Persekutuan, bermula dengan pindahan kuasa kepada Kerajaan Negeri untuk kawal selia tenaga pada tahun ini, konsistensi terhadap matlamat penjanaan tenaga melalui kaedah boleh baharu (RE), dan dalam memastikan rizab elektrik bertambah beberapa stesyen jana kuasa (IPP) telah berfungsi semula selepas Kerajaan GRS mengambil alih pentadbiran negeri hingga boleh menyumbang 200 MW sekaligus menstabilkan grid elektrik negeri.
“Ini adalah bukti kemampuan Kerajaan Negeri mewujudkan solusi isu elektrik,” katanya.
Tambahnya, kejadian seperti masalah grid elektrik hingga menganggu pembekalan tenaga kepada pengguna domestik dan bukan domestik misalnya, berjaya diselamatkan melalui keupayaan strategik pentadbiran hari ini demi kelansungan serta masa hadapan tenaga di Sabah.
Iskandar berkata, Kerajaan Negeri turut menekankan pelaksanaan segera projek dan kerja-kerja penyelesaian masalah bekalan air bersih terutama sekali naik taraf dan selenggara loji-loji rawatan air (LRA).
“Dalam kes air masin Sandakan misalnya ,Kerajaan Negeri tidak menunggu lama untuk mengatasi punca masalah dengan menggantikan pintu empangan Segaliud dengan kerjasama pemantauan kerap tahap saliniti Jabatan Kesihatan Negeri.”
Iskandar berkata, beliau jug masih ingat lagi kejadian seorang Timbalan Ketua Bahagian WARISAN di Sepanggar yang berdiri menghalang penguatkuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam operasi membanteras penempatan haram, sedangkan angkara penempatan haram itulah yang menyebabkan berlakunya kes kecurian elektrik dan sehingga merugikan negeri sebanyak 50 peratus bekalan air negeri yang diklasifikasi sebagai air tidak terhasil (NRW) serta banyak lagi yang menyebabkan kes kebakaran akibat litar pintas dan kerugian aset SESB yang rosak.
“Kejadian tersebut bukan sahaja membazir bekalan air malah menyebabkan beberapa kampung penduduk tempatan tidak dapt bekalan air berbulan-bulan.
“Kesemua ini tidak akan berlaku dan beban ini tidak berat kalau WARISAN tidak gagal dan cekap mengatasinya sebelum ini,” tegasnya.
Beliau berkata, tindakan WARISAN menghukum GRS gagal akibat jalan berlubang ibarat meludah ke langit terkena muka sendiri.
“Lupakah mereka siapa yang menyebabkan projek Pan Borneo di Sabah tertinggal jauh dari Sarawak? Bukankah WARISAN yang menghentikan PDP hingga projek itu tertangguh sehingga GRS yang meneruskannya selepas Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16)?.
“Hari ini dengan wujudnya kerjasama antara GRS dan Kerajaan Madani, pelbagai pakej peruntukan telah tersedia dan kerja-kerja penyelenggaraan tetap berjalan sekalipun banyak cabaran akibat cuaca, kenderaan industri dan sebagainya. Jika benar GRS gagal, kenapa hingga hari ini kerja-kerja naik taraf dan selenggara jalan masih berjalan terutama di Telupid-Kinabatangan…WARISAN hari ini kata beliau seakan-akan berfantasi, semua projek harus siap dalam sekelip mata.”
Iskandar turut memberitahu, semua kejadian ini tidak akan terjadi jika Kerajaan Negeri semasa pentadbiran WARISAN ambil peduli dan cekap mengurus negeri.
Beliau turut mengingatkan bahawa kerajaan negeri semasa di bawah pimoinan Presiden WARISAN Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal juga pernah melanggar undang-undang dengan melantik pengarah Jabatan Air Negeri Sabah yang tidak sah selepas diputuskan oleh mahkamah pada tahun 2019.
Mengulas pertanyaan tentang kekurangan jumlah katil di Hospital Dutchess of Kent (HDOK), Sandakan, Iskandar berkata, isu kekurangan peralatan hospital ini turut berlaku di seluruh negara.
“Bidang kesihatan adalah kuasa Persekutuan, tetapi dengan kerjasama Kerajaan Negeri ia akan lebih mudah membantu.
“Untuk makluman ADUN Elopura, HDOK adalah antara hospital yang banyak menerima penambahan peralatan dan kelengkapan. Fahamilah status quo sesuatu isu sebelum bercakap untuk menunding jari”.
Iskandar turut memuji sinergi yang dirintis Ketua Menteri Sabah dalam usaha disentralisasi kuasa melalui perbincangan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang turut melibatkan isu kesihatan.
“Banyak lagi usaha dan kejayaan GRS yang boleh disebut, tetapi lebih penting adalah menyelesaikan masalah yang gagal diatasi semasa pentadbiran negeri sebelum ini.
“Rakyat harus percaya kepada kepimpinan Hajiji selaku Ketua Menteri serta GRS. Jangan terpengaruh dengan hasutan serta naratif negatif mainan pembangkang,” katanya.


































