Lokasi bayi lelaki yang ditemukan mati selepas disyaki dicampak dari sebuah unit kondominium di Sri Petaling Sabtu.
PETALING JAYA: Polis mengklasifikasikan kes bayi lelaki masih bertali pusat yang ditemukan maut kerana disyaki dicampak dari sebuah unit kondominium di Sri Petaling di sini Sabtu sebagai kes bunuh.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Menurut beliau, sehingga kini, belum ada tangkapan dan usaha mengesan suspek yang terbabit sedang giat dijalankan.
“Proses bedah siasat terhadap mayat bayi berkenaan akan dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kira-kira pukul 2 petang ini,” katanya di sini.
Ku Mashariman berkata, pihaknya meneliti segala kemungkinan dan melakukan siasatan menyeluruh dalam kes berkenaan.
Kata beliau, ini kerana terdapat unit kediaman di kondominium terbabit yang dijadikan sebagai Airbnb.
“Semakan kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian masih berjalan dan belum selesai memandangkan banyak sudut rakaman yang perlu diteliti,” jelasnya.
Media melaporkan mengenai penemuan bayi lelaki masih bertali pusat maut di sebuah kondominium di Sri Petaling selepas dipercayai dicampak dari salah satu unit kediaman.
Semasa ditemui pada pukul 2.30 petang, bayi itu antara lain didapati mengalami pecah pada bahagian kepalanya.


































