Azalina Othman Said
PETALING JAYA: Malaysia menyifatkan tuntutan terbaharu yang cuba dibuat oleh kumpulan Sulu yang dikenali United Tausug Citizens (UTC) terhadap Sabah sebagai remeh dan tidak perlu dilayan.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ini kerana Sabah telah menjadi sebahagian daripada Malaysia. berdasarkan fakta undang-undang dekolonisasi pada tahun 1963.
“Kesultanan Sulu tidak berfungsi selama beberapa dekad dan tidak diiktiraf oleh mana-mana negara berdaulat atau organisasi antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Sehubungan itu katanya, tuntutan UTC yang mendakwa sebagai ‘penjaga sah Wilayah Kesultanan Sulu’ ke atas Sabah adalah tidak berasas.
Beliau berkata, UTC meminta kerajaan Malaysia membuat pembayaran segera sebanyak AS$15 bilion (RM70.2 bilion) yang didakwa sebagai ‘Cession Money’ atau Wang Penyerahan Wilayah dan juga mahu Malaysia mengiktiraf pertubuhan itu sebagai ‘kerajaan yang berdaulat dan merdeka’.
Kumpulan itu juga katanya, mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Malaysia di Amerika Syarikat.
“Ini adalah percubaan terkini yang remeh dan tidak berasas oleh satu kumpulan untuk menuntut kedaulatan ke atas wilayah Malaysia dan memeras wang secara tidak berasas daripada Malaysia,” katanya.
Azalina menegaskan, Malaysia sebelum ini telah berjaya mengetepikan cubaan yang sama di seluruh Eropah oleh pewaris yang mendakwa sebagai waris Sultan Jamalul Kiram II berdasarkan tuntutan palsu yang dikeluarkan oleh penimbang tara, Dr Gonzalo Stampa.
“Malaysia sedang giat melihat semua kemungkinan remedi undang-undang terhadap sebarang tuntutan remeh demi mempertahankan kedaulatan, keselamatan dan kepentingannya pada setiap masa.
“Malaysia tidak pernah mengiktiraf kesahihan tuntutan ke atas kedaulatan, wilayah dan sumber asli Sabah,” ujarnya.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor dalam kenyataan hari ini berkata, Kerajaan Negeri menolak sekeras-kerasnya sebarang tuntutan ke atas Sabah yang sama dengan mempersoalkan kedaulatan negeri dalam Persekutuan Malaysia.
Menyuarakan pendirian kukuh sama seperti Kerajaan Persekutuan untuk tidak melayan dakwaan terbaharu kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai United Tausug Citizens (UTC), Hajiji berkata, Sabah juga mendapat sokongan masyarakat global dalam hal ini.
Beliau turut menegaskan sekali lagi bahawa rakyat Sabah telah memilih untuk bersama- sama membentuk Persekutuan Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) oleh itu, sebarang tuntutan luar terhadap Sabah tidak akan diiktiraf oleh Kerajaan Negeri mahupun rakyat.
“Malah, tuntutan pewaris Kesultanan Sulu yang tidak berfungsi serta tidak berasas itu berakhir dengan pemenjaraan penimbang tara Dr. Gonzalo Stampa,” katanya.
Ketua Menteri menegaskan dakwaan oleh UTC atau mana-mana kumpulan ke atas Sabah tidak lain adalah hanya satu percubaan remeh semata-mata untuk mengganggu-gugat keamanan negeri dan ia sama dengan mengancam kedaulatan negara.
































