Armizan (tengah) menunjukkan harga rahmah pada minyak masak.
PAPAR: Kerajaan memperluaskan agenda payung Rahmah Madani menerusi Program Jualan Rahmah (PJR) Ramadan di 450 lokasi seluruh negara mulai 1 Ramadan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali mengumumkan PJR Ramadan akan melibatkan jualan produk barangan keperluan asas pada kadar potongan harga di antara 10 hingga 30 peratus berbanding harga jualan asal.
“Saya umumkan bahawa sempena dengan Ramadan tahun ini, kita akan memperluaskan agenda payung rahmah ini dengan memperkenalkan satu program baharu yang kita namakan Program Jualan Rahmah (PJR) Ramadan yang akan berlangsung di seluruh negara dan kita sasarkan 450 siri secara berjadual.
“Dalam PJR ini, kita masih mengekalkan konsep barangan ditawarkan pada kadar diskaun dari 10 hingga 30 peratus namun perbezaannya adalah kita juga akan menjual selain daripada barang-barang kering yang menjadi tumpuan PJR sedia ada, barang-barang basah keperluan untuk memasak sepanjang bulan Ramadan dan menghadapi Aidilfitri termasuk untuk membuat kuih dan sebagainya.
“Kita akan bekerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) untuk mendapatkan bekalan barang-barang basah tersebut.
“Jadi, kita harapkan dengan adanya PJR ramadan ini kita dapat bantu khususnya golongan sasar mendapatkan bekalan barang-barang basah dan barang persiapan kuih dan sebagainya.
“Pelancarannya pada 1 Ramadan di Putrajaya serta merta dan kita mengharapkan semua masyarakat supaya menyemak penjadualan 450 siri ramadan ini melalui pautan https://www.kpdn.gov.my/ms/jualan-rahmah untuk mengetahui lokasi PJR Ramadan di kawasan sekitar mereka,” katanya dalam Sesi Walkabout Program Jualan Rahmah di Padang Kawad Ibu Pejabat Briged Sabah PGA, Kinarut dekat sini, hari ini.
Hadir sama ADUN Kawang Datuk Seri Dr Ghulamhaidar @ Yusof Khan Bahadar, Pegawai Daerah Mohd Fuad Abdullah dan Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias.
Pada program itu, Armizan turut menyampaikan sumbangan kepada Pengerusi Masjid Kem PGA Kinarut sempena menyambut bulan Ramadan. Mengulas lanjut ujar beliau, daripada 450 siri PJR itu, 50 siri PJR akan diadakan di Sabah dengan setiap unjuran sekurang-kurangnya dua siri di setiap Parlimen.
*Sasaran kita adalah sepanjang Ramadan ini, satu Parlimen sekurang-kurangnya dua siri PJR jadi di Sabah kita ada 25 Parlimen jadi 50 PJR akan dilaksanakan,” tambahnya.
Dalam pada itu, susulan masalah bekalan air yang menjejaskan 54,165 pengguna melibatkan 19 buah kampung sejak 27 Februari lalu, Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar memaklumkan penghantaran air harian ke kawasan-kawasan terkesan bukan hanya menggunakan lori Jabatan Air Negeri Sabah, tetapi ditambah dengan lori yang disediakan oleh Pejabat Parlimen Papar dan dibantu oleh Pejabat ADUN Kawang, UPPM Pantai Manis dan ADUN Limbahau sebagai langkah penyelesaian serta merta.
Untuk penyelesaian jangka sederhana, katanya, muka sauk (water intake) kedua bagi Loji Rawatan Air EWSS Limbahau akan dibina dan dijangka siap dalam tempoh setahun.
“Pembinaan muka sauk (water intake) kedua bagi Loji EWSS Limbahau akan dilaksanakan kerana muka sauk sedia ada sering dimasuki air masin pada kadar melebihi paras 120 mg/l – standard maksima air mentah boleh dirawat.
“Sejak lebih 20 hari lalu, kadar air masin di muka sauk untuk Loji EWSS dan Loji JETAMA Limbahau adalah melebihi 2000 mg/l yang menyebabkan tidak boleh dirawat dan hingga kini kedua-dua loji tidak dapat beroperasi.
“Menteri Kerja Raya (TKM Sabah) telah bersetuju, dan saya sendiri akan menyusul dengan YAB Ketua Menteri dan YB Menteri Kewangan agar peruntukan boleh diluluskan segera. Sekiranya diluluskan, boleh siap dalam tempoh 1 tahun,” jelas beliau.
Manakala, bagi penyelesaian jangka panjang pula telah dirancang menerusi pelaksanaan Projek Naik Taraf Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon daripada kapasiti rawatan 40 MLD kepada 80 MLD.






























