PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedia menyiasat dakwaan pihak tertentu sekiranya terdapat pegawainya yang membocorkan maklumat kepada media atau pihak lain.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, berdasarkan rekod SPRM, masih belum ada laporan polis yang dibuat berhubung perkara itu kerana dakwaan tersebut terlalu umum.
Menurutnya, terdapat banyak pihak akan terlibat dalam proses siastan SPRM atas kapasiti sebagai suspek, saksi, pihak mahkamah, peguam dan pemberita semasa proses permohonan reman dibuat.
“Siasatan SPRM di mana-mana premis juga sering menjadi perhatian umum, justeru pelbagai pihak yang berkenaan semasa penyiasatan tersebut berlaku juga mempunyai pengetahuan berkaitan siasatan tersebut.
“Oleh demikian adalah agak sukar untuk mengesahkan atau menuduh mana-mana pihak sebagai terlibat dalam apa-apa pembocoran maklumat berkaitan sesuatu siasatan,” katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di portal Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) yang meminta untuk menyatakan adakah laporan polis telah dibuat dan apa tindakan kerajaan berkaitan kebocoran maklumat kepada media melalui ‘sumber.’
Mengulas lanjut, Azalina Othman menegaskan bahawa pegawai SPRM sudah semestinya akan mengawal maklumat berkait dengan sesuatu penyiasatan bagi mengelakkan maklumat tersebut terdedah kepada pihak tidak berkaitan dan boleh menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan.


































