Pasukan anggota bomba memulakan usaha SAR menggunakan teknik pencarian secara permukaan dalam radius satu kilometer dari lokasi mangsa terakhir dilihat, di Sungai Batang Baleh, Kapit Sarawak petang semalam.
KAPIT: Seorang lelaki berjaya diselamatkan dalam kejadian bot karam berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Lepong, Sungai Batang Baleh di sini petang semalam.
Bagaimanapun, empat lagi hilang dan dikhuatiri lemas.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit, Timothy Barat berkata mangsa yang berjaya diselamatkan oleh orang awam dikenali sebagai Moses Ngui, 47 tahun.
“Sepasukan anggota bomba dari BBP Kapit dikerah ke lokasi bagi menjalankan kerja-kerja mencari dan menyelamat (SAR) selepas menerima makluman berhubung insiden pada jam 5.24 petang.
“Empat mangsa yang masih hilang dikenali sebagai Iskandar Ibrahim, Jonthan Lambet, Amerson John Nain dan Jack Balan,” ujarnya.
Tambah Timothy lagi, maklumat awal daripada saksi kejadian mendapati kejadian yang berlaku pada pukul 5 petang itu membabitkan bot berkuasa tinggi dilihat karam berhampiran perairan Sekolah Kebangsaan (SK) Lepong Baleh
“Difahamkan bot malang itu karam selepas merempuh air berpusar di sungai berkenaan.
“Sejurus tiba di lokasi, pasukan bomba memulakan usaha SAR menggunakan teknik pencarian secara permukaan dalam radius satu kilometer dari lokasi mangsa terakhir dilihat,” jelasnya.
Atas faktor keselamatan, katanya, operasi SAR ditangguhkan pada pukul 6.50 petang semalam dan disambung pada hari ini.


































