Ahmad Maslan (dua dari kanan) sedang mendengar taklimat mengenai projek menaik taraf dan pemuliharaan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, di George Town, Pulau Pinang.
GEORGE TOWN : Kementerian Kerja Raya (KKR) mengenal pasti 16 daripada keseluruhan 746 projek di bawah seliaan mereka ketika ini sebagai projek ‘sakit’.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, projek-projek yang dikategorikan sebagai ‘sakit’ itu disebabkan kerja-kerja pembinaannya yang terlewat sehingga mencecah 60 hari atau 20 peratus terlewat daripada jadual.
”Keseluruhan projek yang sedang dalam pembinaan di seluruh negara ini ada 746 projek. Daripada jumlah itu, ada 16 projek iaitu hanya 2.14 peratus sahaja yang dikategorikan sebagai projek ‘sakit’ oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
”Projek-projek ‘sakit’ ini berteraburan di seluruh negara. Ada dua projek di Sabah dan projek ‘sakit’ ini merangkumi pelbagai projek termasuk pembinaan bangunan, cerun, jalan raya, jambatan dan sebagainya.
”Sebelum ini, projek pembesaran Hospital Seberang Jaya (HSJ) turut dikategorikan sebagai salah satu daripada projek ‘sakit’ bulan lalu, namun, kita berikan lanjutan tempoh (kepada kontraktor). Oleh itu, ia bukan lagi projek ‘sakit’,” katanya di sini, hari ini.
Terdahulu, Ahmad dan pasukan JKR meluangkan masa meninjau projek menaik taraf dan pemuliharaan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di sini.
Sebelum ini, media melaporkan sebanyak 351 projek sakit dan terbengkalai dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM32.87 bilion berjaya diselesaikan dan dipulihkan oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) sepanjang setahun pentadbiran Kerajaan Madani.
Berdasarkan Kad Laporan KPKT 2023, projek melibatkan 43,738 unit perumahan swasta itu bagaimanapun berjaya dipulihkan di bawah Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) setakat 31 Oktober lalu.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, projek-projek sakit itu berpunca daripada pelbagai faktor antaranya ialah masalah kewangan kontraktor, masalah sub-kontraktor, Covid-19, kekurangan bahan berkaitan dan sebagainya.
”Banyak sebab yang menjadi punca kepada projek ‘sakit’, namun, sebab utama (yang dikenal pasti) ialah masalah kewangan kontraktor.
”Kita tidak mahu ‘highlight’ (beri keutamaan) sangat kepada projek yang ‘sakit’ ini sebab banyak projek seliaan JKR yang berjaya dilaksanakan seperti projek menaik taraf Mahkamah Tinggi Pulau Pinang ini.
“Malah, JKR juga telah melaksanakan projek dengan cemerlang dengan pengurusan tender juga dibuat secara betul,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, pada masa ini juga, sebanyak 2,100 projek sedang dalam perancangan untuk dilaksanakan oleh JKR.
































