Fadillah Yusof
PETALING JAYA: Kerajaan meluluskan sebanyak RM300 juta secara pinjaman untuk menyelesaikan isu bekalan air di Sabah.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, empat projek baharu diluluskan di bawah Rolling Plan Keempat (RP4) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) berjumlah RM200 juta bagi penyelesaian jangka pendek isu bekalan air di negeri itu.
“Kementerian juga sedang memohon penyelarasan semula kos kepada Kementerian Ekonomi bagi tambahan peruntukan sebanyak RM100 juta berdasarkan kelulusan Jemaah Menteri.
“Kementerian akan memastikan projek yang diluluskan dipantau secara berkala dengan mengadakan lawatan kerja dan mesyuarat di tapak oleh agensi yang bertanggungjawab,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) berhubung status bantuan kepada Kerajaan Negeri Sabah dalam penyelesaian jangka pendek dan panjang mengatasi masalah bekalan air.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, Kerajaan Negeri Sabah juga diluluskan peruntukan sebanyak RM163.55 juta di bawah RP4 bagi projek-projek sambungan.
“Bagi penyelesaian jangka panjang, Kerajaan Negeri Sabah boleh memohon di bawah Rolling Plan akan datang berdasarkan perancangan projek dan keperluan bagi menyelesaikan isu bekalan air di Sabah,” katanya.

































