KOTA KINABALU: Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) optimis komponen parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diketuai oleh Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor dijangka tidak mempunyai masalah menang bergaya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 akan datang.
Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, G57 bekerjasama rapat dengan dua badan bebas di Sabah menilai prestasi Hajiji termasuk pencapaian Kerajaan GRS-PH Plus dan hasil yang boleh dirumuskan setakat ini Hajiji jauh mengatasi dua pemimpin yang beriya-iya mahu merebut jawatan Ketua Menteri Sabah iaitu Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Datuk Seri Bung Moktar.
Katanya, G57 juga berharap agar kerjasama di antara GRS dan Pakatan Harapan (PH) dapat dimuktamadkan memandangkan undi bagi kawasan suku kaum majoriti Cina dilihat sehingga kini masih cenderung kepada PH.
“Setakat ini rakyat Sabah secara keseluruhannya amat berpuas hati terhadap prestasi Hajiji.
“Ini jelas dapat dilihat apabila dalam tahun 2022 dan 2023 Kerajaan Negeri Sabah telah berjaya membawa masuk pelabur asing bernilai hampir RM20 billion lebih ke Sabah malahan sarikat pengeluar kerajang tembaga untuk bateri kenderaan elektrik (EV) Korea Selatan, SK Nexilis dan SBH Kibing Solar New Materials Sdn Bhd di KKIP telah mula beroperasi sekaligus ribuan anak-anak Sabah telah berjaya bekerja di syarikat terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zulkarnain Mahdar
Zulkarnain berkata, di bawah kepimpinan Hajiji Sabah telah mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM10.175 bilion setakat suku ketiga tahun 2023 yang merangkumi pelaburan dalam sektor utama iaitu pembuatan dan perkhidmatan ini sekaligus menjadikan Sabah negeri ke 5 tertinggi di Malaysia menerima pelabur luar.
Manakala pada 2022, Sabah berjaya menarik RM11.5 bilion dalam projek pelaburan.
Sabah juga telah menerima pelaburan dari Syarikat Borneo Cement (Sabah) Sdn Bhd bagi pembangunan sebuah kilang bersepadu klinker dan simen di daerah Tongod dengan anggaran nilai pelaburan berjumlah RM1.11 bilion, bagi fasa pertama pelaburan, tambahnya.
“Masalah utama yang masih membelenggu rakyat Sabah sudah tentu keadaan jalan raya khususnya bagi lalu Ranau, Telupid hingga ke Lahad Datu dan banyak lagi kawasan yang memerlukan perhatian khusus.
“Selain jalan raya masalah air dan elektrik juga masih berada dalam kritikal tetapi melihat kepada perancangan jangka masa panjang Kerajaan Negeri Sabah, G57 yakin ketiga-tiga masalah ini akan berjaya di atasi.
“Harus diingat Sabah jelas ketinggalan 26 bulan kebelakang, ini disebabkan kegagalan Parti Warisan Sabah (Warisan) mengurus tadbir negeri ini dengan baik.
“Ini jelas dapat dilihat semasa Warisan memerintah Sabah dari bulan Mei 2018 sehingga Jun 2020 ironinya tidak ada satu pun pelabur luar yang berjaya dibawa masuk ke Sabah,” ujarnya.
Tambahnya. kadar Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) juga jatuh menjunam dari 8.2 peratus kepada 0.5 peratus.
“Masalah pengurusan pembaikan dan pembinaan jalan raya, air dan elektrik juga gagal diurus dengan baik oleh kerajaan Warisan dahulu, justeru Kerajaan GRS-PH Plus dilihat telah cuba memecut sepantas yang boleh membangunkan Sabah namun misi ini dianggap mustahil dijayakan tanpa sokongan rakyat Sabah sendiri,” katanya lagi.
































