Dr. Mohd. Arifin (tiga dari kanan) mewakili Ketua Menteri merasmikan Majlis Perasmian Penutupan Pesta Majlis Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (MSKPPM) Peringkat Kebangsaan Kali Ke – 49 Tahun 2024 di Kota Kinabalu malam tadi.
KOTA KINABALU: Pesta Majlis Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (MSKPPM) mampu memberikan kualiti mental yang mantap di samping mencari bakat warga pendidik di dalam bidang sukan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Ini selain dapat memupuk nilai-nilai positif serta meningkatkan kualiti hidup dan kesihatan diri, tambahnya.
“Pesta MSKPPM ini merupakan platform berkesan untuk memaksimumkan penyertaan guru dan kakitangan bukan guru dalam kegiatan sukan di negara ini. Dalam masa sama, pesta ini sudah pasti menyuburkan minat dalam memartabatkan kepelbagaian kebudayaan rakyat negara ini.
“Justeru, program ini adalah wadah terbaik dalam memupuk budaya sihat secara bersukan dalam kalangan guru dan kakitangan bukan guru. Begitu juga, MSKPPM juga menjadi landasan untuk merapatkan silaturahim serta memupuk semangat kerjasama dalam satu pasukan dengan komuniti setempat,” katanya ketika merasmikan Majlis Perasmian Penutupan Pesta Majlis Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (MSKPPM) Peringkat Kebangsaan Kali Ke – 49 Tahun 2024 di Dewan Institut Pendidikan Guru, Kampus Gaya Kota Kinabalu, di sini, malam tadi. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Sains, Teknolovgi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif.
Ketua Menteri berkata, pemilihan Sabah sebagai pengelola Pesta Majlis Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (MSKPPM) Peringkat Kebangsaan Kali Ke-49 Tahun 2024 amat bertepatan.
“Sabah mempunyai 35 etnik dan 217 sub-etnik, namun negeri ini mampu mewujudkan perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat di Malaysia. Ini kerana sukan adalah medium perpaduan yang paling berkesan dalam menyatukan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
“Saya yakin melalui Pesta MSKPPM, warga pendidik dapat berkenalan antara satu sama lain serta dapat bertukar pendapat demi peningkatan mutu profesion. Penglibatan dalam MSKPPM sudah pasti mampu memberikan kualiti mental yang mantap di samping mencari bakat warga pendidik di dalam bidang sukan,” kata Hajiji.
Beliau percaya setiap daripada peserta Pesta MSKPPM merupakan kumpulan profesional yang mampu memberikan impak positif terhadap usaha mempersiapkan dan memperkemaskan diri untuk bersedia dalam mendukung setiap hasrat Kerajaan.
Mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pemenang dan kontinjen yang berjaya mendapat tempat dalam Pesta MSKPPM ini, Hajiji berharap kejayaan dan penghargaan ini mengekalkan semangat jiwa cemerlang dalam diri semua warga Kementerian Pendidikan.