JEMPOL: Seorang doktor sebuah klinik swasta di daerah ini ditangkap polis selepas dipercayai mencabul pekerjanya dalam kejadian di bandar ini, di sini, bulan lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, suspek lelaki berusia 36 tahun itu ditangkap polis kurang 24 jam selepas pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 24 tahun kira-kira pukul 6 petang kelmarin.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati kejadian cabul membabitkan mangsa yang baru bekerja selama sebulan sebagai pembantu klinik itu berlaku di dalam bilik rehat selepas waktu bekerja.
“Kejadian ini didakwa kali kedua berlaku ke atas mangsa. Kejadian pertama berlaku pada 19 Februari lalu dan kejadian kedua pula berlaku 24 Februari lalu.
“Kejadian ini menyebabkan mangsa mengalami trauma dan kemudiannya mengadu kepada keluarga. Mangsa kemudian membuat laporan polis dan keterangan beberapa orang saksi telah diambil bagi membantu siasatan.
“Suspek kini ditahan reman tiga hari bermula semalam dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi arahan selanjutnya,” katanya semalam.
Menurut Chang Hook, polis turut menggesa mana-mana individu yang pernah menjadi mangsa sebelum ini tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan.
“Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan, suspek boleh dipenjara maksimum 10 tahun, denda atau sebatan,” katanya.


































