Anthony Loke
PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan semula pengecualian dasar kabotaj untuk kapal-kapal asing yang terlibat dalam semua kerja membaiki kabel dasar laut.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, keputusan itu dicapai pada mesyuarat Jemaah Menteri yang berlangsung kelmarin.
Beliau berkata, langkah ini amat penting untuk menarik lebih banyak pelaburan asing dalam industri pusat data dan merancakkan pertumbuhan ekonomi digital.
“Keputusan ini adalah susulan daripada pelbagai sesi libat urus dengan syarikat-syarikat gergasi teknologi maklumat antarabangsa dalam tempoh beberapa bulan lalu.
“Keputusan itu sekali gus membuktikan Kerajaan Madani mengamalkan dasar mesra pelabur dan memudahkan kemasukan pelaburan asing,” katanya dalam sidang akhbar di sini kelmarin.
Katanya, Jemaah Menteri kelmarin juga bersetuju melaksanakan semula dasar kabotaj untuk kapal-kapal yang menjalankan perkhidmatan kargo dari Semenanjung ke Sarawak.
Loke berkata, langkah ini diambil atas permintaan Kerajaan Sarawak untuk menyokong pertumbuhan industri perkapalan tempatan yang terancam dengan pengecualian dasar kabotaj sejak 1 Jun 2017.
Menurutnya, Sarawak mempunyai industri perkapalan yang sangat besar termasuk pembinaan dan pembaikan kapal dan beberapa syarikat perkapalan Malaysia berpangkalan di Sarawak.
“Keputusan sebelum ini dilihat telah pun membantutkan perkembangan industri perkapalan khususnya di Sarawak.
“Sebelum pengecualian dasar kabotaj, ada 12 syarikat perkapalan Malaysia yang aktif dalam perkhidmatan kargo tetapi selepas beberapa tahun ini, kita tinggal hanya lima syarikat yang aktif,” katanya.
Katanya, dasar kabotaj perlu dilaksanakan semula utk membantu pertumbuhan sektor perkapalan tempatan khususnya di antara Semenanjung ke Sarawak.
Bagaimanapun, Loke berkata, pengecualian dasar kabotaj untuk kapal-kapal yang menjalankan perkhidmatan kargo dari Semenanjung ke Sabah dan Labuan pula dikekalkan.
“Keputusan ini dibuat berlandaskan pendirian Kerajaan Sabah dalam perkara ini,” katanya.
Katanya, susulan keputusan Jemaah Menteri itu, Kementerian Pengangkutan akan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk proses perwartaan dan ia dijangka dimuktamadkan dalam masa dua bulan.

































