Shahelmey Yahya
KOTA KINABALU: Masalah air paip keruh yang dihadapi oleh penghuni Melinsung Apartment berpunca daripada tangki milik apartment tersebut, kata Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya.
Beliau berkata, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) ada menerima aduan daripada penghuni Melinsung Apartment berkaitan masalah air yang dikatakan keruh sejak minggu lepas.
Katanya, pihak Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) telah berhubung dengan pihak pengurusan Melinsung Apartmen bagi menyiasat perkara tersebut.
“Hasil siasatan mendapati, air yang dibekalkan JANS ke Melinsung Apartment sememangnya bersih.
“Air yang keruh berpunca daripada tangki milik Melinsung Apartment (balancing & elevated tank) yang tidak pernah dibersihkan sejak apartment itu mula beroperasi.
“Kerja-kerja pembersihan tangki adalah merupakan tanggungjawab pihak pengurusan apartment tersebut.
Air menjadi keruh akibat gangguan mendapan apabila masuk ke rumah penghuni semasa air dipam masuk ke dalam tangki,” katanya dalam kenyataan hari ini.
JANS masih menanti laporan pembersihan tangki daripada pihak pengurusan Melinsung Apartment, kata Shahelmey, sambil menambah kompaun akan dikeluarkan sekiranya didapati masih belum ada kerja-kerja pembersihan dilakukan.
Menggatal
Mengenai masalah air keruh di Menggatal, Shahelmey menjelaskan, ia adalah disebabkan oleh kerja-kerja penyambungan paip transmisi di persimpangan Menggatal pada 23 Februari, 2024, yang telah mengakibatkan bekalan air menjadi keruh dan berbau di sekitar Rampayan dan Inanam Laut.
Katanya, tindakan kadar segera yang telah dilakukan oleh pihak JANS adalah dengan membuat pembuangan air (flushing) pada transmisi utama sepanjang kawasan yang terjejas.
“Pihak JANS sedang menyiasat perkara ini, sekiranya ada terdapat kecuaian dipihak kontraktor, maka tindakan undang-undang akan diambil,” katanya.
Masalah kekurangan air di Papar
Sementara itu, Shahelmey berkata, operasi Loji Limbahau di Papar terpaksa dihentikan buat seketika untuk keselamatan pengguna disebabkan krisis air masin yang masuk ke permukaan intake loji menyebabkan keadaan air mentah tidak dapat diproses untuk disalurkan kepada pengguna.
“Bagi kawasan terjejas disebabkan krisis air masin di Sungai Papar tersebut, pihak Jabatan Air Daerah Papar dalam usaha berterusan membuat penghantaran air ke kawasan yang terjejas,” katanya.
Selain itu, air dari loji Kogopon juga disalurkan ke kawasan terjejas namun terdapat beberapa kawasan yang mengalami tekanan air rendah menjadikannya agak sukar untuk disalurkan, tambahnya.


































