Hajiji (tiga dari kiri) menyaksikan Tun Juhar menyerahkan watikah pelantikan Ketua Hakim Syarie kepada Ahadin pada majlis penyerahan yang diadakan di Istana Seri Kinabalu, Kota Kinabalu, hari ini.
KOTA KINABALU: Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Haji Juhar Haji Mahiruddin menyampaikan watikah pelantikan Ketua Hakim Syarie Negeri Sabah kepada Yang Amat Arif Ahadin Arinen di Istana Seri Kinabalu, di sini, hari ini.
Turut menerima pelantikan ialah dua orang Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sabah iaitu Yang Arif Surayah Ramlee dan Yang Arif Taherah Tahir.
Majlis itu disaksikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd. Na’im Haji Mokhtar.
Pelantikan Ahadin berkuat kuasa 1 November 2023, manakala pelantikan Suraya berkuat kuasa 19 Jun 2023 dan Taherah pula berkuat kuasa 16 Oktober 2023.
Turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr. Haji Mohd. Arifin Haji Mohd. Arif, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Haji Safar Untong, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Haji Ruslan Muharam, Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Datuk Seri Haji Yahya Hussin, Ketua Pengarah merangkap Ketua Hakim Syarie Malaysia, Yang Amat Arif Dato’ Haji Amran Mat Zain dan Setiausaha/Ketua Pegawai Eksekutif MUIS, Ramlan Awang Ali.






























